GERAK KERJA PKZ ZON TIMUR DIPERTINGKAT SEPANJANG FEBRUARI 2026

KUANTAN, 5 Februari 2026 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Zon Timur terus mempergiatkan pelbagai program strategik sepanjang Februari 2026 melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Muadzam Shah dalam usaha memperkukuh kerjasama institusi, memperluas hebahan zakat serta memperkasa pengurusan dana wakalah di negeri Pahang.

Di Kuantan, PKZ telah mengadakan sesi perbincangan dan kerjasama bersama Pengarah FELDA Wilayah Kuantan bagi meneroka potensi sinergi dalam memperkasakan agenda zakat dalam kalangan komuniti peneroka. Turut diadakan kunjungan hormat sempena Kempen Wakalah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebagai langkah memperluas jaringan kerjasama strategik dalam aspek pengurusan dan pengagihan dana wakalah. Dalam masa yang sama, PKZ Kuantan melalui Bahagian Pengurusan dan Dakwah (BPG) telah mengadakan taklimat cadangan pengagihan dana wakalah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Pahang bagi memastikan tadbir urus wakalah dilaksanakan secara telus dan berimpak tinggi.

Sementara itu di Pekan, PKZ dengan kolaborasi Bahagian Pemasaran telah menjayakan Program Kolaborasi bersama Hub Usahawan Pahang yang melibatkan usahawan negeri ini. Program tersebut mendapat kerjasama daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Pahang serta berlangsung di DRB-HICOM University of Automotive Malaysia. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan pengurusan kewangan, kemudahan jaminan kredit dan peranan zakat dalam menyokong pembangunan ekonomi usahawan serta asnaf.

Di Muadzam Shah pula, PKZ telah mengadakan Taklimat Zakat bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Muadzam dan PEPIMA selaku penggerak komuniti setempat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kewajipan berzakat. Selain itu, program taklimat, pembukaan kaunter zakat dan penyampaian khutbah Jumaat turut dilaksanakan di Ladang KOSMA Muadzam Shah sebagai usaha mendekati komuniti setempat serta memudahkan urusan pembayaran zakat. Secara keseluruhannya, gerak kerja PKZ Zon Timur sepanjang Februari mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh sinergi strategik dan memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara sistematik, telus dan menyeluruh demi kesejahteraan ummah di Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial