KUANTAN, 25 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) telah berjaya menganjurkan Program Halatuju PKZWP 2026 selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari 2026 bertempat di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan, melibatkan penyertaan seluruh warga kerja PKZ Pahang dan Wakaf Pahang. Program tahunan ini bertujuan memperkukuh perancangan strategik organisasi serta menyelaras gerak kerja zakat dan wakaf bagi tahun 2026 agar selari dengan hala tuju Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) 2026–2030.
Hari kedua program dimulakan dengan sesi Halatuju PKZWP 2026 yang menampilkan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar PKZ Pahang, diikuti pembentangan Ulasan Prestasi Kutipan Zakat dan Wakaf Tahun 2025 oleh pengurusan PKZ Pahang dan Wakaf Pahang. Turut diadakan ialah sesi Perkongsian Teras Strategik MUIP 2026–2030, dengan fokus kepada Teras Baitulmal dan Ekonomi Mapan, serta pembentangan daripada Bahagian Agihan Zakat MUIP. Program ini turut memberi ruang kepada setiap bahagian untuk membentangkan perancangan dan fokus kerja masing-masing bagi tahun 2026.
















Selain aspek strategik, elemen pembangunan insan turut diberi penekanan melalui slot motivasi bertajuk “Indeks Kebahagiaan 2026 Sebagai Warga PKZW Pahang” dan “Reset Qiblat Hati versi Amil Kutipan Zakat & Wakaf”, yang bertujuan menyuntik semangat, nilai integriti dan keseimbangan rohani dalam kalangan warga kerja. Kemuncak program diserikan dengan Majlis Anugerah Kakitangan PKZWP 2026 yang mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang kakitangan, sekaligus menyemarakkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam suasana santai dan profesional.
Program Halatuju PKZWP 2026 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh YBhg. Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Pengurusan dan Dasar MUIP, serta ucapan penggulungan oleh YBrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKZWP. Penganjuran program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus, kecekapan perkhidmatan serta pencapaian kutipan dan pengagihan zakat serta wakaf yang lebih mampan demi kesejahteraan ummah di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
