INSAN ISTIMEWA TUNAI ZAKAT

KUANTAN, 7 Ogos 2023 – Pemilik Ira Somia kosmetik iaitu Cik Fatin Syahirah binti Basaruddin yang juga merupakan insan istimewa (masalah percakapan) adalah salah seorang pembayar zakat perniagaan di negeri Pahang. Berdasarkan temubual Unit Media Sosial Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) dengan beliau, tercetusnya idea untuk menubuhkan Ira Somia Kosmetik ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang susah untuk mendapatkan kerja dengan mana-mana syarikat disebabkan kekurangan yang beliau miliki, maka tercetuslah idea untuk memulakan perniagaan online ini.

Bermula dengan hanya 300 pengikut beliau di media sosial, kini Ira Somia Kosmetik telah mempunyai lebih 20 ribu pengikut hasil daripada pemasaran produk beliau yang dijual melalui siaran langsung (Live) di media sosial. Fatin Syahirah merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyokong Ira Somia Kosmetik selama ini kerana dengan sokongan semualah beliau mampu mencapaikan kejayaan yang ada sekarang sekaligus mampu menunaikan zakat perniagaan.

Cik Fatin Syahirah juga turut menyampaikan pesanan kepada umat Islam semua, “Apa jua pendapatan yang kita perolehi jangan lupa untuk tunaikan zakat kita, barulah hidup kita diberkati Allah. Alhamdulillah dengan keberkatan berzakat selama ini banyak memudahkan urusan perniagaan saya dari semasa ke semasa”.   

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada Cik Fatin Syahirah atas ibadah zakat perniagaan yang ditunaikan sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial