JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA ( Bahagian Keenam-Zakat Perniagaan)

Perniagaan merupakan satu sumber zakat yang terbesar berbanding sumber-sumber zakat yang lain seperti ternakan, tanaman dan sebagainya.

Firman Allah swt yang bermaksud:

(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut atau mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbolak balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari kurniaNya. Dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
Surah an-Nur ayat 37-38

Hadis yang diriwayat oleh Abu Daud r.a:

Rasulullah S.A.W memerintahkan kami agar bersedekah dari segala yang kami maksudkan untuk dijual.

Justeru, perniagaan bagaimanakah yang yang layak untuk dikenakan zakat? Sila lihat senarai berikut.

Peruncit kecil-kecilan (penjaja, peniaga pasar malam, warung, gerai dan sebagainya)

Peruncit dan pemborong bermodal sederhana dan besar (kedai runcit, pasar mini, pasar raya, kedai buku, kedai jahit dan sebagainya)

Syarikat pengeluaran/perkilangan (automobil, elektrik, makanan, percetakan, tekstil dan sebagainya)

Perladangan, pertanian, perlombongan.

Pembinaan bangunan dan hartanah.

Syarikat perkhidmatan (kewangan, bank, pengangkutan, keselamatan, pembersihan, perhotelan, perundingan, profesional dan sebagainya).

Sekiranya anda seorang peniaga atau usahawan yang menjalankan perniagaan seperti di atas serta dengan tujuan memperolehi keuntungan, maka perniagaan anda tertakluk kepada zakat perniagaan.

Umumnya semua bentuk, jenis dan entiti perniagaan berikut, berdaftar atau tidak berdaftar adalah tertakluk kepada taksiran zakat.

Syarikat Sendirian Berhad
Syarikat Berhad
Syarikat Awam Berhad
Perkongsian
Koperasi
Milik Tunggal/Perniagaan Persendirian.

Selain daripada syarat-syarat wajib zakat yang umum seperti Islam, Merdeka, Cukup Nisab, Cukup Haul, Sempurna Milik, terdapat beberapa syarat-syarat lain yang berkaitan dengan zakat perniagaan. Ianya adalah merangkumi seperti berikut:

Perniagaan mestilah berorientasikan halal
Harta perniagaan yang produktif (berkembang atau berpotensi untuk berkembang)
Niat untuk perniagaan
Harta tersebut bukan untuk kegunaan sendiri atau peribadi.
Sumber harta perniagaan sama ada melalui pembelian atau tukaran.

KAEDAH TAKSIRAN ZAKAT PERNIAGAAN

Asas bagi taksiran zakat perniagaan berpaksi kepada modal dan perkembangan terhadap modal itu. Sumber modal ini disediakan sama ada oleh dana pemilik perniagaan, dana pelaburan luar atau dana berbentuk pinjaman atau pembiayaan. Keseluruhan sumber modal ini memberikan kuasa penuh kepada pemilik atau pengurusan perniagaan untuk menggunakan modal dalam menjana keuntungan.  Maka jelas bahawa harta berkembang (al-nama’) menjadi asas kewajipan zakat.

Dari segi prinsip, harta perniagaan wajib dizakatkan apabila memenuhi sifat berkembang (al-nama’), diniagakan (urud al-tijarah) dan milik sempurna (al-milk al-tam). Ini bererti taksiran zakat tidak mengambil kira sumber harta diperoleh, sama ada melalui sumber dalaman atau pinjaman.

Proses taksiran zakat adalah terhadap tempoh perniagaan yang telah berlalu. Oleh itu, ia memfokuskan kepada aktiviti perniagaan setahun yang berlalu (sehingga akaun ditutup). Aset semasa dalam tempoh tersebut akan dizakatkan, manakala liabiliti operasi untuk tempoh itu sahaja yang dibenarkan untuk ditolak semasa pengiraan zakat.

Secara umumnya, kaedah taksiran zakat perniagaan terbahagi kepada dua, iaitu kaedah modal berkembang dan kaedah modal kerja.

Kaedah Modal Berkembang ini adalah:

Ekuiti Pemilik (+) Liabiliti Jangka Panjang (-) Aset Tetap (-) Aset Bukan Semasa (+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat).

Untuk Kaedah Modal Kerja pula, ia adalah proses pengiraan seperti berikut:

Aset Semasa (-) Liabiliti Semasa (+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat).

Bagi perniagaan yang mempunyai penyata kira-kira yang lengkap, pengiraan zakat adalah berpandukan kepada “Kunci Kira-Kira”. Kiraan zakat boleh dibuat dengan menggunakan dua kaedah di atas.

Bagi peniaga yang tidak mempunyai penyata kewangan yang lengkap, cara taksiran zakat boleh dilakukan seperti ini:

Peniagaan yang mempunyai “Stok Barang Niaga” seperti kedai runcit, kedai emas, mini market, kedai pakaian dan lain-lain, pengiraan zakat adalah seperti kaedah modal kerja.

Perniagaan yang tidak mempunyai “Stok Barang Niaga” seperti kedai makan, kontraktor, firma-firma, syarikat pengangkutan, perkhidmatan dan lain-lain, pengiraan zakat adalah berdasarkan jualan atau terimaan dalam setahun, ditolak dengan kos operasi setahun dan didarab dengan 2.5% (kadar zakat).

Bagi perniagaan yang berkongsi pemilikan bersama bukan Muslim, zakat hanya tertakluk kepada pemilikan individu atau syarikat Muslim sahaja.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial