KUANTAN, 25 Jun 2023 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang cawangan Kuantan telah menyertai program Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang yang di adakan di Serambi Teruntum, Kuantan. Program ini telah berlangsung selama 3 hari bermula 23 hingga 25 Jun 2023, yang melibatkan seramai 6 orang kakitangan PKZ Pahang dari Zon Timur. Pelbagai agensi lain turut terlibat bagi menjayakan program tersebut di antaranya POS Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), MARDI, Institusi Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Telekom Malaysia, dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Program ini telah mendapat sambutan masyarakat setempat dengan kehadiran ribuan pengunjung sepanjang program ini berlangsung.
Sepanjang program ini diadakan, PKZ Pahang dapat menyampaikan maklumat berkaitan dengan zakat dan wakaf kepada para pengunjung yang hadir ke program tersebut melalui sesi taklimat serta kaunter pameran yang disediakan. Sepanjang program ini dijalankan PKZ Pahang telah menerima bayaran zakat daripada 3 pembayar dengan jumlah kutipan bayaran zakat sebanyak RM1,800.00
Objektif program ini adalah bertujuan untuk menyampaikan penerangan info-info berkaitan kefardhuan zakat harta dan mendekatkan masyarakat khususnya para usahawan dengan PKZ Pahang. Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kewajipan berzakat dan seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
