KARNIVAL PEMOTORAN PAHANG 2025 GEGARKAN SERAMBI TERUNTUM

KUANTAN, 3 Mei 2025 – Serambi Teruntum, Kuantan menjadi tumpuan para peminat dunia permotoran dari seluruh negara sempena Karnival Pemotoran Pahang 2025 yang berlangsung meriah pada 3 dan 4 Mei 2025. Program anjuran Legasi Era Gemilang ini telah dijayakan dengan kerjasama Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) serta beberapa agensi lain yang turut memberikan sokongan padu.

Karnival dua hari ini telah menghimpunkan penyertaan ratusan kelab pemotoran kereta dan motosikal dari seluruh Malaysia. Antara aktiviti utama yang berjaya menarik perhatian ramai termasuk pertandingan Auto Show, Bike Show, Forum Perdana, program Subuh Fighter macam Raya serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Program ini bukan sekadar mempamerkan keunikan kenderaan berkonsep modifikasi, klasik dan mewah, tetapi turut menjadi medium pertemuan antara peminat permotoran, keluarga dan masyarakat setempat dalam suasana yang harmoni dan santai.

Turut hadir memeriahkan acara ialah wakil-wakil agensi kerajaan, NGO serta pemimpin komuniti setempat. Selain elemen hiburan dan gaya hidup, karnival ini turut memberi ruang kepada pengisian rohani melalui Forum Perdana dan program Subuh Fighter macam Raya yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta.

Pihak Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) berharap agar program seperti ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah dalam kalangan peminat permotoran, malah turut memberi ruang kesedaran tentang pentingnya menunaikan zakat dan mengaktifkan amalan wakaf dalam kehidupan.

Kehadiran ribuan pengunjung dalam karnival ini adalah satu peluang terbaik untuk menyampaikan mesej dakwah dan kesedaran sosial secara santai namun berimpak tinggi. Pihak PKZWP turut berharap agar setiap tetamu yang hadir pulang bukan sahaja dengan pengalaman menarik, tetapi juga membawa pulang ilmu dan kefahaman berkaitan kewajipan zakat serta kelebihan wakaf sebagai pelaburan akhirat.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial