1 FEBRUARI 2023, Temerloh – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) daerah Temerloh telah berjaya mengadakan satu program penerangan wakalah dan wakaf terhadap guru -guru di sekolah SK Sungai Gau. Program taklimat pemulangan wang zakat kepada sekolah (Wakalah Sekolah) yang bertempat di bilik gerakan SK Sungai Gau Temerloh ini telah berlangsung selama setengah hari dengan penyertaan lebih 40 orang kakitangan SK Sg Gau.
Taklimat program ini telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Zakat daerah Temerloh, Abdul Majid bin Abdul Manaf yang membicarakan berkenaan panduan dan syarat kelayakan bagi membolehkan sekolah untuk memohon wakalah. Tujuan program ini diadakan adalah bagi meningkatkan bilangan potongan zakat berjadual di kalangan guru dan kakitangan sekolah. Pada masa yang sama pihak PKZ Temerloh juga turut mempromosikan kesedaran berwakaf melalui potongan gaji kepada kakitangan sekolah.
Hasil yang sangat positif diterima dari program ini di mana potongan zakat berjadual kakitangan SK Sungai Gau sebelum program adalah 34 orang (77% daripada kakitangan) dengan jumlah potongan zakat sebanyak RM 2,673.57. Selepas program ini diadakan, jumlah potongan zakat berjadual meningkat kepada 40 orang (91% daripada kakitangan) dengan jumlah potongan sebanyak RM 3,993.67.
Diharapkan dengan adanya program wakalah sekolah ini, dapatlah membuka mata warga pendidik untuk membuat potongan zakat secara bulanan kerana melalui wakalah maka pihak sekolah dapat memanfaatkan semula agihan zakat kepada asnaf di dalam sekolah sendiri seperti pelajar-pelajar miskin, aktiviti keagamaan dan pembelian kelengkapan surau sekolah.
Disediakan oleh,
Mohamad Lukmanulhakim bin Jalaluddin,
Pembantu Pegawai Zakat,
Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Temerloh