Kuantan, 2 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan zakat harta dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Abdulaziz.
Majlis berkenaan menyaksikan penerimaan zakat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, iaitu Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman. Turut mengiringi majlis tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim.
Keberangkatan Baginda menzahirkan komitmen berterusan institusi diraja dalam memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh budaya berzakat sebagai asas kesejahteraan ummah. Tindakan Baginda turut menjadi contoh teladan kepada seluruh rakyat agar menunaikan kewajipan zakat dengan penuh amanah dan tanggungjawab.


Zakat yang ditunaikan akan diuruskan secara sistematik dan telus untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak, selaras dengan peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
Pihak PKZ merafakkan setinggi-tinggi junjungan kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan kepada Baginda dalam mentadbir Negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh keadilan dan keberkatan.
Kredit Foto : FB Kesultanan Pahang
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
