KEMPEN WAKALAH SEKOLAH DI CAMERON HIGHLANDS

CAMERON HIGHLANDS, 16 Januari 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Cawangan Raub telah mengadakan satu program penerangan wakalah dan wakaf terhadap guru – guru di lima buah sekolah sekitar Cameron Highland iaitu SK Menson, SK Convent, SK Tanah Rata, SK Brincang dan SK Telanok. Program taklimat pemulangan semula wang zakat kepada sekolah (Wakalah Sekolah) ini telah berlangsung selama setengah hari dengan penyertaan lebih hamper 100 orang kakitangan sekolah yang terlibat.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi meningkatkan bilangan potongan zakat berjadual di kalangan kakitangan sekolah dan mempromosikan kesedaran berwakaf. Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Zakat Daerah Raub, Ustaz Mohd Khairon bin Umar yang menerangkan berkenaan syarat kelayakan bagi membolehkan sekolah untuk memohon wakalah dan kaedah pengiraan zakat.

Respon yang sangat positif diterima daripada program ini di mana ramai guru buat pertama kali telah menyertai skim potongan zakat bulanan dan sebahagiannya membuat tambahan amaun. Alhamdulillah hasil program diadakan, SK Tanah Rata, SK Convent dan SK Telanok telah melepasi syarat wakalah yang ditetapkan iaitu seramai 90% kakitangan telah menunaikan zakat melalui potongan gaji dan bakal menerima pemulangan zakat sebanyak 30% dari jumlah pembayaran.

Diharapkan dengan adanya program wakalah sekolah ini, dapat membuka mata warga pendidik untuk membuat potongan zakat secara bulanan kerana melalui wakalah maka pihak sekolah dapat memanfaatkan semula agihan zakat kepada pelajar-pelajar miskin, aktiviti keagamaan dan pembelian kelengkapan surau sekolah masing-masing.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial