KEDAH, 9 November 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah menyertai Program Konvoi Kembara Zakat (KKZ) anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). Program yang berlangsung selama tiga hari ini telah disertai 155 peserta yang terdiri daripada agensi mengurus zakat seluruh negeri. PKZ Pahang telah menghantar empat orang wakil bagi menyertai Program Kembara Zakat ini di mana rombongan PKZ Pahang diketuai oleh Ustaz Felza Zulrrafaaee bin Abdul Hamid selaku Ketua Bahagian Dakwah PKZ Pahang.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini telah telah dibawa melihat projek-projek usahawan asnaf di bawah naungan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Antaranya adalah usahawan yang mengusahakan madu kelulut dan landak di Kampung Kota Aur dan usahawan mengusahakan ikan pekasam dan kopi di Kampung Keda Kota Aur. Konvoi kemudiannya melawati tapak pembinaan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, sekolah zakat di Belantik dan projek estet padi yang diusahakan oleh kumpulan asnaf zakat di Kampung Padang Lumat Yan.



Turut diadakan acara sukan rakyat seperti bola dalam guni, tarik tali, sepakan penalti berkain pelikat dan permainan-permainan tradisional yang melibatkan penduduk setempat dan peserta-peserta konvoi. Acara kemuncak adalah perasmian projek wakah iaitu Pusat Sehenti Masyarakat Masjid al-Wustha yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Badan Kebajikan Petronas, Encik Mohd. Shahrul Faiz Mohd Saad dan disaksikan oleh Ketua Pengarah JAWHAR YH Dato’ Selamat Paigo, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK YH Dato’ Syeikh Zakaria Othman serta Pegawai Daerah Sik Encik Mahamad Suhaimi bin Man. Program bersambung malamnya dengan Forum Perdana ‘Bahagia Dengan Memberi’ yang diadakan di Masjid as-Salam, Chepir Sik.
Konvoi Kembara Zakat ini merupakan program tahunan anjuran Jawhar yang bermula sejak 2012 dengan membawakan tema ‘Al-Barakah di Jelapang Padi’ untuk tahun ini. Program ini merupakan kerjasama antara Jawhar, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ). Diharapkan agar program Konvoi Kembara Zakat ini dapat diadakan setiap tahun bagi tujuan mengeratkan jalinan kerjasama antara agensi mengurus zakat selain mengetengahkan program-program agihan zakat sekaligus dapat mendekatkan lagi agensi zakat bersama masyarakat.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang