KUNJUNGAN HORMAT KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA KE PUSAT KUTIPAN ZAKAT DAN WAKAF PAHANG (PKZWP)

KUANTAN, 14 Februari 2025 – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), telah menerima kunjungan hormat daripada Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT). Delegasi yang diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato’ Ab Jabar bin Mohamad Aris, Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, turut disertai oleh dua pegawai pengiring, Leftenan Kolonel Zuhairy bin Hj Ahmad Kusaini, Ketua Kemajuan Ahwal Syakhsiah (KAS), dan Mejar Muhammad Khairil bin Mazlan, Ketua Unit Undang-Undang Syariah.

Kunjungan ini telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Pengurus Besar PKZWP, Encik Zafridan bin Md Daud, Ketua Bahagian Korporat Dan Pemasaran PKZP, Puan Noraidah binti Mustafa, Penolong Pegawai Bahagian Korporat PKZP, Encik Farid bin Ishak, Penolong Pegawai Bahagian Potongan Gaji PKZP dan Encik Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir, Pegawai Unit Wakalah Korporat PKZP. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan penyelarasan agihan wakalah zakat Angkatan Tentera Malaysia, khususnya bagi anggota tentera yang berkhidmat di negeri Pahang. Mesyuarat tersebut bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara PKZWP dan KAGAT dalam memastikan agihan zakat yang lebih efisien kepada anggota tentera yang memerlukan, serta memastikan segala proses pengurusan zakat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada yang berhak.

Dengan kerjasama yang kukuh antara pihak KAGAT dan PKZWP- MUIP, diharap agar lebih ramai anggota tentera yang berkhidmat di Pahang dapat membuat potongan gaji zakat sekaligus mempertingkatkan lagi jumlah kutipan zakat yang dapat diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan, khususnya dalam kalangan anggota tentera dan keluarga mereka. Harapan besar ini bertujuan untuk memastikan lebih ramai individu yang berhak mendapat bantuan dan keberkatan daripada zakat, dan dapat membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Pahang.

Disediakan oleh,
Nur ‘Addneen binti Mohamad Razali
Pelatih Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang



Kongsikan di media sosial