KUNJUNGAN HORMAT PKZWP KE MAIDAM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK ZAKAT DAN WAKAF

KUALA TERENGGANU, 27 Mei 2025 – Sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengurusan hal ehwal Islam negeri, satu kunjungan hormat telah diadakan oleh delegasi Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) ke atas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Delegasi PKZWP diketuai oleh Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKZWP, diiringi oleh Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Wakaf), serta Tuan Haji Samsol bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Zakat).

Ketibaan delegasi PKZWP disambut mesra oleh Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, bersama barisan pengurusan kanan MAIDAM yang terdiri daripada YM Tengku Mohamad Hafiz bin Tengku Hashim Badli (Ketua Penolong Setiausaha – Pengurusan Mal), Puan Wan Noraina Mardiah binti Wan Chik (Ketua Penolong Setiausaha – Khidmat Pengurusan), dan Tuan Haji Nazli Amirri bin Ngah (Ketua Penolong Setiausaha – Pengurusan Zakat).

Sesi perbincangan yang berlangsung telah membuka ruang untuk pertukaran pandangan strategik serta amalan terbaik dalam tadbir urus zakat dan wakaf, di samping mengenal pasti potensi kerjasama baharu dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang menyokong agenda pembangunan sosioekonomi ummah.

Kunjungan ini juga dilihat sebagai platform mengukuhkan jaringan ukhuwah dan profesionalisme antara PKZWP dan MAIDAM melalui pendekatan yang lebih efisien, inklusif serta berpaksikan maqasid syariah, seiring aspirasi memperkasa ummah dalam mendepani cabaran masa kini.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial