KUANTAN, 8 Februari 2025 – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) telah mengadakan Kursus Hala Tuju tahunan yang bertempat di The Zenith Hotel, Kuantan, bermula pada 8 Februari 2025 (Sabtu) hingga 9 Februari 2025 (Ahad). Kursus ini melibatkan kehadiran seluruh kakitangan PKZWP dari seluruh negeri Pahang dan bertujuan untuk memperkukuhkan strategi serta memperjelas hala tuju pengurusan zakat dan wakaf pada tahun 2025.
Pada hari pertama, kursus ini telah dimulakan dengan ucapan aluan yang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman. Kursus ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Bahagian Operasi Dan Baitulmal, Ybrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, yang menyampaikan ucapan perasmian bagi kursus ini. Beliau menekankan pentingnya kursus ini dalam memperkukuhkan lagi peranan PKZWP dalam memberikan manfaat yang lebih besar kepada umat Islam, khususnya dalam pengurusan zakat dan wakaf yang lebih cekap dan teratur.
Pada sebelah malam, telah diadakan majlis makan malam bersama kakitangan PKZWP yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP YH Dato’ Ahmad Hairi Bin Hussain, serta Ustaz Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab Al-Hafiz, yang juga merupakan Ahli Panel Syariah Pusat Kutipan Zakat Pahang. Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada kakitangan baru serta penyerahan anugerah bagi menghargai pencapaian dan sumbangan cemerlang kakitangan PKZWP sepanjang tahun 2024.
Antara anugerah yang telah disampaikan adalah:
- Anugerah Pengurusan Kualiti ISO
- Anugerah Khidmat Setiap 10 Tahun
- Anugerah Kenaikan Gred
- Anugerah Kutipan Wakaf Kategori Pejabat/Operasi
- Anugerah Kutipan Wakaf Tertinggi Kategori Zon
- Anugerah Kutipan Wakaf Tertinggi Keseluruhan
- Anugerah Kakitangan Popular dan Akhlak Terpuji
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
- Hadiah Persembahan Kakitangan Baru



Pada hari kedua, PKZWP telah menerima perkongsian yang sangat bermanfaat berkaitan gerak kerja yang telah dijalankan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Terengganu (MAIDAM) yang mungkin boleh diaplikasi di PKZWP. Perkongsian ini telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Terengganu (MAIDAM), Ybhg. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan. Dengan Perkongsian ini, telah membuka ruang untuk PKZWP dan MAIDAM berbincang dan berkongsi idea serta pengalaman dalam menguruskan zakat. Daripada perkongsian yang disampaikan, PKZWP berharap input tersebut mampu memperkasa hubungan dan kerjasama PKZWP dan MAIDAM serta mampu memberi impak yang positif antara kakitangan di pelbagai peringkat.
Kursus hala tuju ini diharap dapat memperkasa keupayaan pengurusan zakat dan wakaf PKZWP, dengan meningkatkan kefahaman terhadap aspek syariah, teknikal, dan pengurusan yang lebih moden. Pihak penganjur berharap agar para peserta dapat menerapkan ilmu yang diperolehi dalam meningkatkan mutu kerja mereka dan memberikan impak yang lebih besar dalam pengumpulan dana zakat dan wakaf. Dengan kerjasama yang lebih erat dan sistem pengurusan yang lebih baik, PKZWP diharapkan dapat terus memberikan manfaat yang lebih banyak kepada masyarakat Pahang, meningkatkan keberkesanan serta mendukung pembangunan ekonomi umat Islam di negeri ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif Bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang