KURSUS INDUKSI FIQH AL-WATAN KAKITANGAN MUIP-PKZWP

KUANTAN, 28 Mei 2025 – Kursus Induksi Fiqh Al-Watan anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah berjaya menghimpunkan seramai 80 orang warga khidmat daripada MUIP, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) dalam usaha memperkukuh kefahaman berkenaan naratif tatacara kehidupan bertanah air berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ). Kursus ini menjadi platform strategik dalam menjelaskan kerangka pemikiran Islam yang menyeluruh, meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak yang mendasari peranan institusi Islam dalam pembangunan watan secara holistik.

Majlis dimulakan dengan pembentangan utama oleh Pengarah Eksekutif IIDM, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad yang membawa tema “Fiqh Al-Watan: Tatacara Kehidupan Bertanah Air ASWJ”. Beliau menjelaskan bagaimana konsep Fardhu ‘Ain yang merangkumi tauhid, fekah dan tasawuf perlu berjalan seiring dengan nilai-nilai Hubbul Watan yang melibatkan institusi kesultanan, adat resam serta pemeliharaan alam sekitar. Kefahaman menyeluruh ini menjadi asas penting dalam pembinaan sebuah masyarakat yang seimbang dari sudut spiritual, sosial dan peradaban.

Sesi diteruskan dengan pembentangan ilmiah yang memperinci dimensi-dimensi utama pemikiran Islam menurut kerangka ASWJ, antaranya berkaitan Tauhid Asha’irah-Maturidiyyah sebagai teras kepada pemikiran peradaban, peranan fekah mazhab Syafi’e dalam mengatur kehidupan beragama, penghayatan tasawuf Al-Ghazali sebagai asas pembentukan kendiri, serta penglibatan Fiqh Al-Watan dalam sejarah peradaban Negeri Pahang. Setiap pembentangan disampaikan oleh para tokoh Zamalah IIDM yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YBhg. Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman yang menyatakan harapan agar kursus ini menjadi pemangkin kepada kesinambungan pengukuhan naratif ASWJ dalam gerak kerja institusi agama. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif IIDM, YBhg. Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif PKZWP, YBhg. Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman; serta barisan kepimpinan kanan MUIP, PKZWP.

Kursus ini bukan sahaja menjadi medan pengukuhan kefahaman agama dalam kalangan warga institusi, malah mencerminkan komitmen berterusan dalam membudayakan ilmu, memperkasakan pemikiran watan, dan melestari peranan institusi Islam sebagai pemacu pembangunan ummah secara berterusan dan berstrategik.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial