KURSUS KEMAHIRAN PENYELIAAN BERKESAN

KUANTAN, 16 Oktober 2024 bersamaan 13 Rabiul Akhir – Dalam usaha mempertingkatkan kualiti pengurusan, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah menganjurkan Kursus Kemahiran Penyeliaan Berkesan kepada 28 orang para pegawai termasuk pengurus dan penolong pengurus Zon Timur, Tengah dan Barat dan ketua-ketua unit di ibu pejabat.

Kursus tersebut dikendalikan oleh Tuan Haji Azman bin Taher bersama Tuan Azrel bin Taher dari Gem Asia Consultancy Sdn Bhd (GASB) bertempat di Shahzan Hotel, Kuantan. GASB bertanggungjawab dalam mengendalikan kursus-kursus kepimpinan di kalangan jabatan kerajaan dan swasta.

Antara pengisian penting ditekankan oleh Tuan Haji Azman sepanjang kursus tersebut ialah berkenaan tips-tips bagaimana untuk mengurus kakitangan bawahan, berurusan dengan pihak luar dan merancang gerak kerja dengan baik.

Penolong Pengurus Zon Barat, Encik Mohd Khairon bin Umar mengulas, “Kursus sebegini adalah sangat penting bagi kami para pegawai menangani kakitangan bawahan dan merancang dengan berkesan. Bagi saya para kakitangan bawah adalah asset berharga kepada majikan untuk mencapai objektif”.

Pihak PKZ Pahang berharap agar hasil kursus ini akan dapat melahirkan para pegawai yang lebih cekap dan kompeten dalam menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Kursus ini berakhir dengan sesi penyampaian sijil dan cenderahati kepada para peserta sebagai penghargaan di atas komitmen dan penglibatan mereka sepanjang program berlangsung.

Disediakan oleh,
Noraidah binti Mustafa
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial