KURSUS KOMUNIKASI BERKESAN DAN PENGUCAPAN AWAM BERPENGARUH

Kuantan, 14 Ogos 2024 – Dalam usaha mempertingkatkan kualiti dakwah zakat dan tahap pengucapan awam kepada orang ramai, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah mengadakan satu Kursus Komunikasi Berkesan dan Pengucapan Awam Berpengaruh kepada beberapa kakitangan terpilih.

Kursus tersebut telah dikendalikan oleh Cr. Umaimah Nasuuha binti Mohd Ghani, Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Kuantan dan Encik Mohd Hisbul Hadi bin Mat Hassan, Pegawai Perhubungan Industri Kolej Komuniti Kuantan sebagai para penceramah dan motivator. Kursus ini telah berlangsung selama sehari suntuk bertempat di Dewan Besar, Kolej Komuniti Kuantan dan disertai oleh seramai 29 kakitangan yang terdiri daripada kakitangan operasi dari Ibu Pejabat dan seluruh cawangan PKZ Pahang.

Antara pengisian penting ditekankan adalah berkenaan teknik menjadikan komunikasi lebih berpengaruh dan berimpak besar dengan menggunakan pendekatan bidang psikologi berdasarkan belasan tahun pengalaman tenaga pengajar yang sebagai penceramah motivasi. Para peserta juga telah didedahkan dengan pelbagai pendekatan berbentuk komunikasi persuasif (memujuk).

Menurut salah seorang peserta yang mengikuti kursus tersebut, Mohd Hidayat Nohd Nafiah yang mewakili Bahagian Dakwah PKZ Pahang. “Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak majikan kerana menyediakan kursus sebegini kepada kami, saya yakin ilmu yang diperolehi hari ini dapat meningkatkan kemahiran pengucapan awam saya bila berhadapan dengan prospek zakat”.

Sekalung tahniah diucapkan kepada para peserta Kursus Komunikasi Berkesan dan Pengucapan Awam Berpengaruh, semoga ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk menyampaikan dakwah zakat kepada masyarakat.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial