KURSUS PENGENDALIAN KAUNTER DAN KHIDMAT PELANGGAN PERKASA KUALITI PERKHIDMATAN PKZ DAN WAKAF PAHANG

KUANTAN, 10 Februari 2026 – Seramai 31 orang kakitangan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang telah menghadiri Kursus Pengendalian Kaunter dan Khidmat Pelanggan yang diadakan di Kolej Komuniti Kuantan. Kursus ini bertujuan mempertingkatkan kemahiran komunikasi, etika layanan serta kecekapan pengurusan kaunter dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pembayar zakat dan pelanggan.

Program latihan ini memberi penekanan kepada aspek profesionalisme petugas barisan hadapan (frontliners), pengurusan aduan pelanggan, teknik komunikasi berkesan serta tatacara pengendalian situasi mencabar di kaunter. Melalui pendekatan teori dan latihan praktikal, para peserta didedahkan dengan kaedah penyampaian maklumat yang jelas, mesra dan berintegriti selaras dengan standard perkhidmatan organisasi.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang dalam memperkasa budaya kerja cemerlang serta memastikan setiap urusan berkaitan zakat dan wakaf dilaksanakan secara efisien, sistematik dan berorientasikan pelanggan. Usaha ini juga selari dengan hasrat organisasi untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan serta memperkukuh imej institusi di mata masyarakat.

Diharapkan melalui kursus ini, semua kakitangan yang terlibat dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam tugasan harian seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial