MAHRAJAN ANEKA BUBUR AIDILFITRI MERIAHKAN MASJID UNIPSAS

KUANTAN, 25 April 2025 – Sempena sambutan Aidilfitri, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah menganjurkan Program Mahrajan Aneka Bubur Aidilfitri yang berlangsung meriah di perkarangan Masjid UNIPSAS. Program ini turut mendapat sokongan daripada jemaah masjid sekitar serta para pelajar universiti yang berganding bahu menjayakannya.

Sebanyak lapan jenis bubur tradisional telah disediakan seperti bubur jagung, bubur labu, bubur chacha dan pelbagai lagi, hasil sumbangan dan kerjasama semua pihak yang terlibat. Bubur-bubur ini telah diagihkan kepada para jemaah sejurus selesai solat Jumaat sebagai tanda meraikan Syawal dalam suasana penuh kemesraan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, yang turut bersama menyantuni jemaah dan membantu dalam proses pengagihan bubur.

PKZWP berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan sebagai platform merapatkan hubungan antara institusi agama, pendidikan dan masyarakat. Semoga usaha sebegini dapat menyemai nilai kasih sayang, perpaduan serta semangat memberi dalam kalangan komuniti Islam, khususnya bagi rakyat di negeri Pahang

PKZWP turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong program kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada umat Islam dan berharap kolaborasi strategik antara agensi, institusi pendidikan dan masyarakat dapat diperhebatkan pada masa akan datang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial