MAJLIS JASAMU DIKENANG MANTAN PENGURUS BESAR KANAN PKZ PAHANG

KUANTAN, 21 Julai 2024 – Satu majlis istimewa telah diadakan untuk meraikan YH Dato’ Haji Halidan bin MD Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, yang telah menamatkan perkhidmatannya setelah 30 tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi. Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pahang, Panel Syariah Zakat dan Wakaf, Ahli Jawatankuasa Wakaf Pahang, seluruh kakitangan Pusat Kutipan Zakat Pahang serta ahli keluarga YH Dato’ Haji Halidan.

YH Dato’ Haji Halidan bin MD Daud telah berkhidmat selama tiga dekad dalam bidang zakat dan wakaf, memberikan sumbangan yang amat besar dalam membangunkan institusi ini dan memperkukuhkan pengurusan zakat di negeri Pahang. Di bawah kepimpinannya, Pusat Kutipan Zakat Pahang telah mencapai banyak kejayaan, termasuk peningkatan ketara dalam kutipan zakat dari RM1.9 juta pada tahun 1995 ke RM215.1 juta pada tahun lalu.

Kakitangan Pusat Kutipan Zakat Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YH Dato’ Haji Halidan atas segala jasa dan pengorbanan besar beliau selama tiga dekad memimpin PKZ Pahang. Dalam kesempatan ini, mereka meluahkan harapan agar pengalaman dan idea Dato’ Haji Halidan dapat terus disumbangkan kepada PKZ Pahang secara peribadi.

Kami warga PKZ Pahang akan sentiasa mendoakan agar YH Dato’ Haji Halidan dikurniakan kesihatan yang baik dan ksentiasa berbahagia dalam kehidupan selepas bersara. Pusat Kutipan Zakat Pahang akan terus menghargai sumbangan beliau dan berusaha meneruskan kerja keras serta komitmen dalam memajukan institusi ini seperti mana yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang perkhidmatan.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial