KUANTAN, 7 November 2023 – PKZ Pahang telah menganjurkan satu majlis Pelancaran Z- Point yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Majlis Perasmian Z-Point yang diadakan di TASEK KotaSAS ini turut dihadiri Mufti Pahang, Sahibus Samahah YH Dato’ Seri Haji Abdul Rahman bin Osman, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud
Semasa ucapan penyempurnaan perasmian majlis yang disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang YH Dato’ Haji Halidan menyatakan bahawa setiap pembayar zakat di negeri ini bakal menerima mata ganjaran menerusi Z-Point atas setiap transaksi yang dilakukan sama ada bersemuka atau atas talian. Mereka boleh menebus mengikut nilai terkumpul, Inisiatif ini merupakan penghargaan kepada kesetiaan para pembayar dengan menggantikan cenderahati kepada bentuk nilai mata digital.



Z-Point adalah program Kesetiaan Pelanggan (Loyalty Program) yang menawarkan point untuk ditukarkan kepada baucer, promosi esklusif dan juga wakaf. Z-Point ini boleh ditebus bermula 16 Oktober lalu dan tiada tarikh luput di mana penebusan boleh dibuat di 22 buah kedai wakil niaga yang telah disenaraikan. Wakil niaga terdiri daripada usahawan pembayar zakat dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Selain itu, Z-Point juga boleh ditebus dan digunakan untuk berwakaf di Wakaf Pahang.
Moga dengan pelancaran Z-Point ini akan menarik minat lebih ramai bakal pembayar zakat baharu dan para usahawan untuk menjadi ahli Biz-zakat (usahawan pembayar zakat).
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang