MAJLIS PENANGGUHAN BULAN ZAKAT & WAKAF NEGERI PAHANG 2025 BERLANGSUNG MERIAH

ROMPIN, 1 Ogos 2025 – Majlis Penangguhan Bulan Zakat dan Wakaf (BZW) Negeri Pahang 2025 anjuran Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZW) Pahang dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan strategik.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), YBhg. Dato’ Selamat Bin Paigo yang turut merasmikan penangguhan rasmi program tersebut. Sepanjang penganjuran bermula 1 hingga 29 Julai 2025, PKZW berjaya merekodkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM3.85 juta dengan penyertaan seramai 11,698 pembayar.

Program ini turut mencatatkan 310 bil kutipan bernilai RM203,476.76, pengisian 382 borang baharu dan 514 borang lama potongan gaji (BPG) berjumlah RM441,745.03 serta 478 permohonan Potongan Zakat Felda (PZF) bernilai RM27,385.00. Pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk program turun padang, ceramah kesedaran, aktiviti bersama asnaf, pelancaran wakaf tunai dan hartanah, serta kolaborasi strategik bersama agensi dan rakan korporat.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan zakat dan wakaf kepada asnaf serta institusi terpilih, termasuk bantuan enjin sangkut kepada nelayan, dana wakalah zakat kepada sekolah-sekolah dan geran wakaf untuk sektor kesihatan, pendidikan dan keagamaan. Yayasan Wakaf Malaysia juga turut menyerahkan geran sumbangan wakaf kepada Wakaf Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif PKZW Pahang, Tuan Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menegaskan komitmen untuk terus memperkasa peranan zakat dan wakaf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi Islam yang inklusif.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial