KUANTAN, 09 Mac 2024 – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang telah mengisytiharkan bulan Syaaban sebagai Bulan Zakat Dan Wakaf peringkat negeri Pahang. Sepanjang program ini berlangsung PKZ Pahang telah melaksanakan sebanyak 173 program bagi mempromosikan zakat dan wakaf Pahang kepada pelbagai lapisan masyarakat. Antara program yang berjaya dianjurkan adalah program Majlis Serahan Zakat, Berkat Run, sumbangan bantuan zakat dan dana wakaf, program tanggungjawab sosial, persidangan meja bulat, bengkel, seminar, konvoi amal, program-program kempen zakat dan lain-lain program.
Majlis Penutupan Bulan Zakat Dan Wakaf telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Turut Hadir di dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, YH Dato Halidan bin Md Daud dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Tuan Haji Mohd Rizal bin Mohd Ali Nafiah.
Pada sebelah pagi nya telah diadakan acara Berkat Run dan Subuh Fighter serta tazkirah ringkas bertajuk “Waktu Muda ; Antara Nikmat Dan Amanah” yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy. Program ini telah dihadiri lebih dari 1,000 para hadirin. Dan sebelum Majlis Penutupan Bulan Zakat Dan Wakaf diadakan, satu Forum Khas bertajuk “Ibadah Abadi, Pahala Berkekalan” telah dijalankan di tempat yang sama. Panel terdiri daripada Timbalan Mufti Pahang, YH Dato Badlishah bin Alaudin dan Pensyarah Universiti Islam Selangor (UIS), Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid serta dimoderator oleh Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Tuan Haji Mohd Rizal bin Mohd Ali Nafiah.
Melalui bulan zakat yang telah dilaksanakan ini adalah diharapkan semoga ianya dapat mencapai objektif bertujuan untuk mempertingkatan kesedaran kewajipan berzakat dan berwakaf di kalangan masyarakat serta mendekatkan lagi hubungan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf dengan pihak luar.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
