MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH CABUTAN BERTUAH PEMBAYAR ZAKAT PAHANG DISEMBER 2024

KUANTAN, 13 Februari 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang Cabutan Bertuah Pembayar Zakat Disember 2024 yang diadakan di Bilik Seminar, PKZWP. Cabutan bertuah ini telah dibuat pada 28 Januari 2025 melalui secara langsung di media sosial rasmi PKZW, bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menyaksikan keputusan cabutan bertuah tersebut.

Seramai 14 orang pemenang daripada 19 orang yang berjaya dipilih dalam cabutan bertuah ini hadir di majlis berkenaan untuk menerima hadiah. Cabutan bertuah ini adalah sebagai penghargaan kepada pembayar zakat yang telah menyumbang kepada asnaf di negeri Pahang sepanjang bulan Disember 2024. Para pemenang telah dipilih secara rawak melalui cabutan bertuah yang dilakukan semasa siaran langsung di media sosial PKZWP, yang memberi peluang kepada pembayar zakat untuk menerima hadiah-hadiah menarik sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.

Antara pemenang yang mencuri perhatian pada majlis tersebut adalah Puan Nur Ashikin binti Che Abdul Rani, yang telah memenangi hadiah utama berupa pakej umrah tajaan Wira Saujan Travel & Tours. Pemenang berkenaan kelihatan teruja menerima hadiah yang sangat bermakna ini, yang pastinya menjadi impian ramai umat Islam untuk menunaikan ibadah umrah.

Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar PKZP, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Beliau dalam ucapannya berkata, “Program cabutan bertuah ini adalah salah satu cara kami untuk menghargai sumbangan para pembayar zakat yang ikhlas berkongsi rezeki mereka dengan asnaf di negeri Pahang. Kami berharap program ini dapat menggalakkan lebih ramai lagi umat Islam untuk menunaikan zakat dan bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.”

Selain itu, turut hadir dalam majlis ini adalah Encik Zaisam bin Zainal, Pengurus Zon Barat PKZWP, Encik Zafridan bin Md Daud, Ketua Bahagian Korporat dan Pemasaran PKZWP serta Puan Nurul Hazlinda binti Rosli, Pengurus Pemasaran Emas Ariffin, yang merupakan salah seorang penaja dalam program cabutan bertuah ini. Puan Nurul Hazlinda juga turut menyampaikan beberapa hadiah tajaan Emas Ariffin kepada para pemenang.

Pihak PKZWP berharap bahawa program ini dapat terus menggalakkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan zakat, serta memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan syarikat untuk turut serta dalam menyumbang kepada asnaf. “Cabutan bertuah ini merupakan sedikit sebanyak penghargaan kami kepada pembayar zakat yang sudi berkongsi rezeki mereka dengan golongan yang memerlukan, seterusnya membantu mengukuhkan ekonomi umat Islam di negeri Pahang,” kata Tuan Haji Che Samsol.

Dengan adanya program seperti ini, PKZWP berharap dapat meraih sokongan yang lebih besar daripada masyarakat untuk meningkatkan kutipan zakat, sekali gus memberi manfaat yang lebih besar kepada asnaf yang memerlukan di seluruh Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial