MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN DAN ANUGERAH ZAKAT

KUANTAN, 25 Januari 2022 – Dua belas badan korporat telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM19,328,282.31 juta ringgit kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di dalam Majlis Serahan Zakat Dan Anugerah Zakat yang berlangsung di Dewan Astana Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan.

Majlis Penyerahan Zakat Dan Anugerah Zakat tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang Yang Hormat Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.

12 Badan Korporat terlibat yang telah menunaikan zakat perniagaan adalah;

FGV Holdings Berhad
Tenaga Nasional Berhad
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)
Tanah Makmur Berhad
Pharmaniaga Berhad
Pascorp Paper Industries Berhad
Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA)
Far East Holdings Berhad
Felcra Berhad
Harqis Empire Sdn Bhd
QSR Brands (M) Holdings Berhad
Radicare (M) Sdn Bhd

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang juga turut berkenan mengurniakan Anugerah Zakat kepada lapan (8) Badan Korporat yang istiqamah membayar zakat dan Skim Wakalah kepada 17 sekolah yang telah berjaya menyempurnakan potongan zakat bulanan kepada pihak Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang). Syarat Skim Wakalah yang ditetapkan adalah potongan zakat bulanan hendaklah melebihi 90% daripada jumlah kakitangannya.  Manakala amaun potongan minima yang adalah sebanyak RM2,500 bagi sekolah menengah dan RM1,000 bagi sekolah rendah.

Pihak PKZ Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada badan korporat dan sekolah yang terlibat bagi menjayakan Majlis Serahan Zakat Dan Anugerah Zakat bagi tahun 2022 dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua badan korporat dan sekolah yang terlibat kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan dan pendapatan mereka sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

Kongsikan di media sosial