MAJLIS SERAHAN ZAKAT BADAN KORPORAT SIRI KE 4

KUANTAN, 9 DISEMBER 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM9.8 juta. Baginda yang juga Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima bayaran zakat daripada sembilan buah syarikat pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat Siri 4 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur.

Pembayaran zakat perniagaan diterima daripada FELCRA Berhad Wilayah Pahang dengan jumlah RM2.8 juta, diikuti CIMB Islamic Bank Berhad (RM1.8 juta), Kumpulan Far East Holdings Berhad (RM1.2 juta), Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (RM1 juta) dan UMP Holdings Sdn Bhd (RM781,826.82). Manakala Tenaga Nasional Berhad pula membayar zakat perniagaan berjumlah RM680,212.93, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM678,383), Kumpulan Kampong Aur Oil Palm Company (Sdn) Berhad (611,519.40) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM273,297).

Sementara itu, data dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang merekodkan bahawa prestasi kutipan zakat harta semasa terkumpul sehingga 30 November 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 18.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2021. Peningkatan ini membabitkan seramai 93,157 pembayar zakat dengan jumlah RM149.5 juta berbanding hanya seramai 88,884 pembayar zakat dengan RM126 juta pada tahun lalu.

Jelasnya, penyumbang terbesar bayaran zakat harta adalah daripada sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM63.5 juta manakala bayaran daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan pula sebanyak RM54.8 juta. peningkatan kutipan zakat semasa ada disebabkan oleh beberapa faktor antaranya adalah kenaikan harga komoditi sawit yang turut melonjakkan sumbangan zakat badan korporat yang berasaskan perladangan sawit.

PKZ Pahang menyeru agar umat Islam segera menunaikan bayaran zakat melalui pelbagai kaedah yang disediakan sama ada mengunjungi kaunter PKZ selain menggunakan kaedah atas talian (online) melalui Perbankan Internet, FPX, Aplikasi PahangGo, Razor Pay, Shopee, SnapNPay atau portal MyEg. Sebagai khidmat hujung tahun, semua pejabat PKZ Pahang akan dibuka seperti biasa pada hari Sabtu pada dua minggu terakhir hujung tahun daripada pukul 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Sumber: pahangmedia.my

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial