MAJLIS SILATURAHIM AIDILFITRI PKZW PAHANG 2025

KUANTAN, 24 April 2025 – Dalam meraikan bulan Syawal yang penuh meriah, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZW) Pahang telah mengadakan Majlis Silaturahim Aidilfitri peringkat PKZWP pada 24 April 2025 bersamaan 25 Syawal 1446 Hijriyyah bertempat di Laman HasnahBasri, Kampung Jawa, Kuantan, Pahang.
Para jemputan mulai hadir pada jam 11.00 pagi dan terus memeriahkan suasana sehingga jam 4.00 petang. Rumah terbuka tersebut telah dihadiri lebih 700 orang tetamu yang terdiri daripada para pembayar, ejen–ejen zakat dan wakil-wakil jabatan sekitar Kuantan. Pihak PKZWP menyediakan pelbagai juadah hari raya yang terdiri daripada nasi minyak, sate, laksa pahang, lemang, kambing golek dan pelbagai kuih muih untuk dinikmati oleh semua tetamu yang hadir.

Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran YH Dato’ Hairi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Profesor Dr Hassan bin Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah PKZ Pahang, YH. Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Ahli Jawatankuasa Wakaf Pahang, YBhg. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, dan beberapa pengarah jabatan kerajaan serta swasta.

Para kakitangan PKZWP tidak melepaskan peluang untuk saling beramah mesra dengan tetamu yang hadir di samping bertukar info dan idea berkenaan urusan kerja. Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman mewakili pihak PKZWP merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada tetamu yang memeriahkan majlis ramah mesra dan berharap semua pihak dapat bersama-sama menggembleng usaha bersama PKZW Pahang dalam meningkatkan kesedaran berzakat dan wakaf kepada semua lapisan masyarakat.

‘Seindah Ramadan Semeriah Syawal, Tunaikan Zakat Sebagai Amal’

Disediakan oleh,
Nur ‘Addneen Binti Mohamad Razali
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial