MELAWAT KILANG AHLI BIZZAKAT

28 MAC 2022, Cameron Highlands – Sempena lawatan kerja ke daerah Cameron Highlands, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Yang Hormat Dato’ Haji Halidan bin Md Daud telah meluangkan masa untuk melawat kilang memperoses produk hiliran berasaskan buah Strawberi yang dimiliki oleh salah seorang ahli Bizzakat (direktori pembayar zakat perniagaan) yang terletak di Royal Lily Tanah Rata.

Encik Amnan Fakri bin Osman adalah antara usahawan muda yang sedang meningkat naik di daerah Cameron Highlands. Selain daripada mengusahakan projek penanaman strawberi secara komersial, beliau turut menghasilkan produk-produk berasaskan strawberi seperti jem strawberi, kordial, ais krim, sambal bilis dan serunding. Di kilang ini juga beliau turut menghasilkan produk pastry seperti kuih, kek dan ‘scone’ untuk diedarkan sekitar Cameron Highlands. Di samping mengeluarkan produk strawberi ini, usahawan muda ini juga turut menjadi operator kepada dua buah cafetaria yang terletak di Taman Sedia dan bandar Tanah Rata.

Produk berasaskan strawberi keluaran kilang beliau dijenamakan di atas nama ‘Cik Merah’, manakala produk pastri pula dipasarkan di atas jenama ‘Ayah Man’. Dua jenama ini sangat terkenal di kalangan pengunjung Cameron Highlands dan telah dipasarkan secara meluas ke seluruh negara.

Alhamdulillah semenjak mula menceburkan diri dalam perniagaan 8 tahun lalu, beliau terus melazimi diri untuk menunaikan zakat perniagaan yang diusahakan. Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga perniagaan encik Amnan agar terus berkembang maju serta diberkati Allah SWT dan seterusnya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Kongsikan di media sosial