MENELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (bahagian pertama)

Sepertimana yang kita maklum, antara surah-surah yang terakhir penurunannya di dalam al-Quran ialah surah at-Taubah. Surah ini diturunkan di Madinah dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya dipanggil ayat Madaniah. Apa yang menarik perhatian kita, banyak perkara penting berkaitan zakat diterangkan dengan jelas di dalam surah ini. Marilah sama-sama kita menelusuri ayat-ayat tersebut melalui beberapa keterangan di bawah ini.

a.) Pada permulaan surah ini, ayat yang ke 5 menceritakan tentang perihal orang-orang musyrik. Allah SWT memerintahkan agar orang-orang musyrik dibunuh kerana melanggar perjanjian damai yang telah disepakati bersama-sama orang mukmin setelah habisnya bulan-bulan haram (haram berperang) berlalu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Penerangan berkaitan ayat di atas, ada tiga syarat untuk menghentikan mereka supaya tidak dibunuh dan diberi kebebasan iaitu:

Bertaubat dari mensyirikkan Allah SWT dengan mengucap kalimat Syahadah (memeluk agama Islam)

Mendirikan Solat Wajib sebagai merealisasikan keimanan yang merupakan salah satu rukun Islam yang harus dikerjakan setiap hari dan ianya merupakan kriteria membezakan Muslim dan Musyrik atau kafir dan merupakan juga rantai penghubung berbentuk keagamaan-spiritual-sosial antara umat Islam.

Membayar zakat yang dikenakan atas kekayaan mereka untuk keperluan orang yang berhak dan kesejahteraan masyarakat dan merupakan rantai penghubung material-sosial-politik dalam masyarakat Islam.

b.) Seterusnya ayat yang ke 11 dalam surah ini,

Allah SWT telah berfirman bermaksud: “Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.”

Penerangan ayat di atas menjelaskan bahawa seorang kafir tidak berhak masuk ke dalam barisan kaum Muslimin dan tidak berhak memperoleh ikatan persahabatan seagama yang membuatnya termasuk salah seorang dari kaum Muslimin itu (sama-sama merasa suka-duka dan terikat dengan satu ikatan kukuh) kecuali bila ia bertaubat dari segala kesyirikan dengan implikasi-implikasinya, mendirikan solat dan dengan solat itu seorang Muslim diterima dengan senang hati dan dikira sebagai mentaati Allah SWT dan membayar zakat sebagai lambang perpaduan kemasyarakatan.

Para Ulama semenjak zaman Sahabat sudah memperingatkan satu hal penting iaitu bahawa al-Quran selalu menghubungkan Zakat dengan Solat dan jarang sekali disebutkan tanpa solat:

Abdullah bin Mas’ud berkata: “kalian diperintahkan mendirikan solat dan membayar zakat, barang siapa yang tidak berzakat bererti tidak ada erti solat baginya”.

Ibnu Zaid berkata: “Solat dan Zakat diwajibkan bersama, tidak secara terpisah-pisah “. Kemudian ia membaca ayat: bermaksud: “Bila mereka bertaubat, mendirikan solat, dan membayar zakat, barulah mereka menjadi teman kalian seagama dengan kamu”. Solat tidak akan diterima tanpa zakat. Selamat bagi Sayidina Abu Bakr yang mengerti benar tentang masalah ini kerana katanya menunjuk ucapan Abu Bakr “Aku tidak memisah-misahkan dua hal yang disatukan sendiri oleh Allah! “.

c.) Di dalam surah ini juga ayat 18, Allah SWT telah menceritakan tentang orang-orang yang suka mengimarahkan masjid-masjid yang mana mereka ini merupakan orang-orang yang mendapat restuNya:

firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita hakikat bagi orang yang layak digelar golongan yang memakmurkan rumah-rumah Allah. Bagi Allah, mereka masih belum layak memperoleh restu dariNya sekalipun mereka menghidupkan dan mengimarahkan masjid-masjidNya, sebelum mereka ini beriman, mendirikan solat dan membayar zakat.

d.) Terdapat juga di dalam surah ini akan ancaman dari Allah SWT ke atas pengumpul-pengumpul emas dan perak serta harta kekayaan yang tidak mengeluarkan hak Allah iaitu zakat.

Firman Allah SWT pada ayat 34 dan 35 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Para ulama’ mengatakan bahawa ancaman yang dinyatakan di dalam ayat ini adalah  satu ancaman yang sangat berat dan dahsyat disebabkan oleh sifat kikir dan bakhil manusia. Tetapi jika mereka takut pada ancaman yang berat ini, sudah tentu mereka akan segera patuh pada perintah Allah SWT iaitu dengan menunaikan zakat.

e.) Di dalam surah ini juga terdapat penjelasan tentang orang-orang yang layak menerima zakat yang di sebut di dalam surah ini dengan shodaqah. Penjelasan ayat ini menempelak buat mereka-mereka yang rakus dengan harta kekayaan zakat.

Firman Allah SWT pada ayat 58 hingga ayat 60 yang bermaksud: “Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah. Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Penerangan ayat di atas menegaskan kepada kita akan ketegasan Allah SWT menempelak dan menghentikan keserakahan orang-orang yang tamak haloba dan tidak menyerahkan pembahagian zakat mengikut kehendak dan kemahuan orang-orang yang tamak haloba tadi atau mengikut keinginan hati para orang yang berpengaruh tetapi pembahagian ini telah ditetapkan sendiri oleh Allah SWT kepada lapan asnaf (golongan) yang layak menerimanya. Penetapan siapakah yang lebih adil dari ketetapan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah” ayat 50 surah al-Maaidah

Ayat 60 surah at-Taubah ini juga merupakan dalil bahawa zakat itu harus dikumpulkan dan dibuat pembahagian dengan perantaraan “Amil” (petugas zakat) yang memberi petunjuk kepada kita bahawa yang menguruskan urusan zakat (pungutan dan pengagihan) mestilah pemerintah bukan secara peribadi atau persendirian.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial