MENELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (bahagian terakhir)

f.) Di dalam surah ini juga Allah SWT menjelaskan pula institusi-institusi masyarakat Islam.

Firman Allah SWT ayat 71 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Penerangan ayat di atas menjelaskan zakat merupakan salah satu institusi yang membezakan seorang itu Mukmin dengan seorang Munafik yang dijelaskan oleh Allah SWT sebelum ayat tersebut iaitu ayat 67 yang bermaksud:

”Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”

Mereka ini adalah orang yang kikir dengan menggenggam tangan (bakhil dan kedekut) oleh kerana rakusnya mereka kepada harta dan enggan mengeluarkan zakat dan disebabkan (bakhil dan kedekut) itulah mereka telah dilupakan Allah dengan erti kata lainnya Allah SWT membiarkan dan tidak diperhatikan olehNya (tidak mendapat rahmat Allah SWT). Bagi orang-orang yang beriman, mereka membuka tangan mereka (mengeluarkan zakat) oleh kerana tidak bakhil dan kedekut, mereka mendapat rahmat dari Allah SWT.

g.) Pada ayat yang ke 103 surah at-Taubah ini, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW dan semua orang yang diberi amanah untuk memimpin umat Islam sesudah kewafatan Baginda SAW dengan firmanNya yang bermaksud:

”Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa para mufassirin (ahli tafsir) menjelaskan bahawa perkataan min (dari) dalam ayat Khuz min amwalihim shodaqah (Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi zakat) itu bererti ”sebahagian”. Ini memberi makna shodaqah (zakat) yang diwajibkan itu bukanlah seluruh kekayaan tetapi hanya sebahagian kecil sahaja. Adapun perkataan amwalihim (harta-harta kekayaan mereka) bukan disebut maalihim (harta mereka) di dalam ayat tersebut dan ini membawa maksud bahawa harta-harta kekayaan itu meliputi berbagai jenis kekayaan dan bukannya hanya pada satu-satu bentuk kekayaan sahaja. Manakala kata ganti nama (dhamir) him yang bersambung dengan perkataan amwal (harta-harta kekayaan) bermaksud keseluruhan orang Muslim. Demikianlah pendapat jumhur ulama’ tafsir dalam menjelaskan perkara yang terdapat di dalam ayat ini. Inilah yang menjadi landasan dan pegangan mengapa kekayaan seluruh orang Muslim itu wajib dikenakan zakat, oleh kerana kesamaan kedudukan mereka dalam pandangan pelaksanaan hukum Islam.

Sebagai rumusan dari apa yang telah diperjelaskan dari ayat-ayat berkaitan dengan zakat di dalam surah at-Taubah ini, dapatlah disimpulkan dari kaca mata al-Quran bahawa, manusia tidak boleh meraih kebajikan, tidak boleh disebut sebagai orang baik, tidak boleh dianggap sah masuk barisan orang-orang yang bertakwa dan masih tidak boleh sederap selangkah dengan orang Mukmin yang lain selagi mana mereka masih tidak mengeluarkan zakat.

Tanpa zakat, seseorang itu tidak boleh dibezakan dari orang-orang musyrik yang tidak membayar zakat dan tidak meyakini hari akhirat. Tanpa zakat, seseorang tidak boleh dibezakan dengan orang-orang munafik yang menggenggam tangan (tidak mengeluarkan zakat) bakhil dan kedekut serta rakus pada harta kekayaan. Tanpa zakat, seseorang itu tidak akan memperoleh rahmat Allah SWT yang tidak rela diberikan kepada orang-orang yang tidak berzakat. Firman Allah SWT di dalam surah al-a’raaf ayat 156 yang bermaksud:

“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”

Tanpa zakat, seseorang itu tidak berhak memperoleh pertolongan dari Allah SWT, RasulNya dan dari orang-orang yang beriman. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam surah al-Maaidah ayat 55 dan 56 yang bermaksud:

”Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.”

Tanpa zakat, seseorang itu tidak boleh mendapat pembelaan dari Allah SWT yang sudah dijanjikanNya melalui surah al-Hajj ayat 40 dan 41 yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial