MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM ? (Bahagian Pertama)

Para ulama Islam telah bersepakat bahawa zakat hanya diwajibkan kepada Muslim baligh yang berakal dan merdeka yang mempunyai atau memiliki kekayaan dalam jumlah yang tertentu beserta syarat-syarat yang telah ditentukan syarak.

Para ulama Islam juga bersependapat bahawa zakat tidak diwajibkan kepada bukan Muslim kerana kefardhuan mengeluarkan zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Atas dasar itulah orang kafir tidak dituntut untuk mengeluarkannya dan tidak akan menjadi hutang yang harus ditunaikannya setelah seseorang kafir itu menganut agama Islam.

Perkara ini dirujuk bersandarkan kepada hadis Ibnu Abbas yang shahih bahawa ketika Rasulullah SAW mengutuskan Muaz ke Yaman yang bermaksud:

” Kau akan berhadapan dengan penganut-penganut ahli Kitab, oleh itu, perkara pertama yang harus kamu lakukan ialah menyeru mereka agar beriman (menyakini) bahawa tiada tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya. Sekiranya mereka menerima (taat)akan seruan kamu itu, maka ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam dan apabila telah mengerjakannya (solat) maka khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka berzakat, (yang mana zakat ini) dikenakan kepada orang-orang kaya dan (hasil zakat itu) diberi (diagihkan) kepada orang-orang miskin di kalangan mereka ”

Hadis ini menunjukkan (menurut Imam An Nawawi dan lain-lain) bahawa tuntutan hukum wajib di dunia tidak akan terjadi melainkan setelah seseorang itu memeluk agama Islam.

Berdasarkan kepada pendapat ulama Islam di atas, Imam Syairazi r.a, dikuatkan pula dengan pendapat Imam Nawawi r.a telah mengemukakan pendapat mengapa zakat tidak diwajibkan kepada orang kafir asli, ini kerana zakat adalah satu hak yang perlu dilaksanankan oleh seseorang Islam dan sebab itu ia (zakat) tidak dibebankan kepada orang kafir samada kafir harbi (yang memusuhi Islam) ataupun kafir zimmi (yang hidup di bawah naungan Islam). Mereka tidak terkena akan kewajipan ini semasa mereka kafir dan tidak harus untuk melunaskannya apabila mereka telah memeluk agama Islam.

Apabila zakat tidak diwajibkan kepada bukan Muslim, maka zakat itu juga tidak sah seandainya dibayar oleh orang kafir. Ini kerana mereka tidak memiliki pensyaratan pertama iaitu Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud:

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

Namun begitu, amal kebajikan yang mereka (orang kafir) kerjakan di dunia dapat meringankan hukuman mereka di akhirat. Maka azab itu adalah penghinaan manakala nikmat itu adalah penghargaan.

Semua yang di atas adalah mengenai orang kafir, tetapi bagi orang-orang yang murtad atau beralih agama, (mohon dijauhkan dan diberi perlindungan kita semua darinya) zakat telah diwajibkan ke atas mereka semasa hal keadaan mereka Islam dan zakat itu tidak akan gugur (kefardhuannya) disebabkan murtad. Ini kerana hak dalam menunaikan zakat ini telah wajib ketika mana ia Islam dan tidak gugur dengan sebab murtadnya dia sepertimana sama hukumnya pada bab hutang kepada seseorang itu setelah diisytihar muflis. Inilah pendapat dari mazhab As Syafie’yah.

Tetapi Ulama-ulama as-Syafie’yah berselisihan pendapat tentang kewajipan zakat pada masa hal keadaan seseorang itu murtad. Sebahagian mereka mengatakan bahawa zakat mereka ditangguhkan (pendapat ini menjadi pilihan). Ini kerana zakat itu adalah hak fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya maka hak ini tidak hilang disebabkan murtadnya seseorang itu sepertimana sama hukumnya pemberian nafkah dan hutang piutang.

Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan Muslim?

Ramai orang memperkatakan masalah ini. Islam telah memberi keluasan kepada orang bukan muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk hidup di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan dan kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain. Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama ? Pada hal zakat merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperolehi yang harus dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya.

Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan dan alasan-alasan ini akan kita bicarakan pada bahagian terakhir pada siri yang akan datang. Wallahu a’lam.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial