MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM? (Bahagian Terakhir)

Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan Muslim?

Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu tentang persoalan di atas, ramai orang memperkatakan masalah ini. Islam memberi keluasan kepada orang bukan Muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk hidup di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan dan kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain. Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama? Pada hal zakat merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperoleh yang harus dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya.

Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan:

  1. Zakat adalah satu tanggungjawab sosial dan merupakan hak asnaf yang telah ditentukan dan juga satu cukai yang dikenakan ke atas kekayaan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dikeluarkan atau diambil dari orang-orang yang mempunyai kekayaan untuk diberi atau diagihkan kepada orang-orang fakir dan miskin sebagai merealisasikan hubungan silaturahim satu sama lain, hubungan kemasyarakatan dan hubungan hamba dengan Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Pencipta.
  1. Zakat adalah salah satu ibadah dalam Islam dan merupakan satu tiang seri dalam menegakkan agama Islam ini. Statusnya sama penting dengan syahadah, solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah al-Haram.

Sebelum ini kita telah menjelaskan bagaimana al-Quran telah menghubungkan kalimah zakat dengan solat berpuluh-puluh kali banyaknya dan menjadikan kalimat zakat bersama kalimah taubat dari mensyirikkan Allah SWT berserta kalimah solat sebagai bukti seseorang itu telah menganuti agama Islam dan berhak mendapat gelaran saudara seagama Islam.  Al-Quran juga menjelaskan bahawa sebahagian zakat yang dikeluarkan itu adalah untuk memperkuatkan Islam, menaikkan martabatnya dan juga untuk kepentingan sosial dalam agama dan negara dan juga untuk memberi kekuatan dari sudut dalaman dan luaran kepada orang-orang yang masih baru dalam Islam.

Apa yang diterangkan di atas tadi semuanya telah dijelaskan pada bahagian asnaf ”Fi sabilillah” dan juga asnaf ”Mualaf”

Banyak hadis yang menyebut perihal zakat bahawa zakat ini diambil dari orang-orang yang memiliki kekayaan untuk diberi dan diagihkan kepada orang-orang fakir miskin, maka tindakan ini merupakan satu perlaksanaan atas maksud pertama zakat dikeluarkan iaitu tanggungjawab sosial memberi keperluan yang mencukupi kepada orang-orang fakir miskin. Tetapi al-Quran telah memperincikan kepada kita bahawa lapan asnaf (golongan) sebagai penerima zakat dan di antaranya adalah orang-orang mualaf (mualafatu qubuhum) dan juga untuk perkara-perkara yang membawa kepentingan kepada Islam (fi sabilillah) dan ini adalah pelaksanaan atas maksud kedua zakat ditunaikan iaitu tanggungjawab beribadah kepada Allah SWT.

Atas dasar itu, Islam yang penuh kemuliaan dan keadilan (dalam berhadapan dan bermuamalah dengan golongan bukan Islam serta menghormati pegangan agama mereka) akan tercalar kemuliaannya dan keagungannya dan menyebabkan mereka (golongan bukan Islam) akan tersinggung bilamana mereka juga diwajibkan melaksanakan kefarduan ini yang jelas sekali bercirikan agama Islam. Bahkan sebenarnya zakat merupakan kemegahan Islam yang terbesar (dalam memberi tanggungjawab sosial yang sempurna), ia salah satu dari Ibadah yang empat dan salah satu dari lima tonggak utama dalam Islam.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial