MENGELUARKAN ZAKAT HARTA SATU DARI RUKUN ISLAM.

Zakat adalah salah satu asas bina ISLAM yang lima. Kepentingan zakat dalam ISLAM digambarkan melalui kedudukannya yang merupakan rukun ISLAM yang ketiga iaitu sesudah mengucapkan dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Ini telah dirakamkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

ISLAM dibina di atas lima asas: menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan haji bagi sesiapa yang berkuasa melaksanakannya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sebagai pengetahuan, perkataan zakat dalam bentuk ma’rifah (definisi) telah disebut di dalam al-Quran sebanyak 30 kali, antaranya 27 kali disebut bersama perkataan solat dalam satu ayat. Dari segi penurunan ayat-ayat zakat ini, terdapat 8 kali disebut di dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah dan yang selebihnya telah disebut pada surah-surah yang diturunkan di Madinah.

Antara ayat-ayat yang disebut bersama perkataan solat dalam satu ayat, firman Allah di dalam surah al-Baqarah, maksudnya: Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, dan setiap pekerjaan baik yang kami kerjakan untuk dirimu nescaya akan kami dapati kembali nanti disisi tuhan dan sesungguhnya tuhan melihat apa yang kamu kerjakan. (110: al-Baqarah)

ALLAH telah berfirman dalam mensifatkan hamba-hambaNya yang mukmin di dalam surah al-Anfal, maksudnya: Mereka yang mengerjakan solat dan membelanjakan setengah dari rezeki yang kami berikan kepada mereka, mereka itu lah orang-orang yang sebenarnya beriman. (3-4: al-Anfal)

Hadis Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa sesiapa yang tidak menunaikan zakat hartanya, tidak boleh dianggap seorang mukmin yang sebenar.

“Barangsiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, maka hendaklah ia menunaikan zakat hartanya.”

Dan ketahuilah juga bahawa orang yang solat, berpuasa dan telah menunaikan hajinya, tetapi belum mengeluarkan zakat, nescaya ALLAH tidak akan menerima solatnya dan puasanya serta hajinya sehingga ia mengeluarkan zakat sebab semua perkara-perkara ini adalah bertalian satu dengan lain. ALLAH tidak akan menerima dari hambaNya setengah ibadahnya sehingga ia sempurnakan kesemuanya.

PENGERTIAN ZAKAT

DARI SEGI BAHASA:

Zakat bererti ”BERSIH”,” SUCI”,” SUBUR”,” BERKAT” dan” BERKEMBANG”.

Pengertian” BERSIH” dan” SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti kata yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

DARI SEGI SYARAK

Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada golongan-golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu

HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT

Hikmah dan tujuan ALLAH mensyariatkan zakat antaranya ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH di kalangan golongan yang berada
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan orang yang kurang bernasib baik
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberikan peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat ISLAM dalam urusan ekonomi dan kewangan

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial