KUANTAN, 23 Mei 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (PKZP – MUIP) telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) yang telah diadakan di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan, Pahang. Mesyuarat ini telah melibatkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) dari setiap negeri dan telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), YBhg Dato’ Selamat bin Paigo. Mesyuarat ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud dan pegawai-pegawai kanan daripada agensi zakat setiap negeri.
Seusai mesyuarat diadakan, para delegasi telah dibawa melawat Menara 188, Kompleks Anak Yatim Akademi YASA-MUIP dan kampus Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai pendedahan kepada para ahli deligasi berkenaan keunikan negeri Pahang dan perkongsian tentang projek bantuan zakat.



Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaraskan program zakat agar pelaksanaannya lebih efektif dan teratur, serta memastikan setiap agensi zakat di negeri-negeri dapat bekerjasama dengan lebih baik dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat. Dengan adanya mesyuarat penyelarasan ini, diharapkan setiap agensi dapat berbincang dan berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi dalam pengurusan zakat, selain mencari solusi bersama untuk memperbaiki dan memperkemas sistem perkhidmatan sedia ada. Adalah diharapkan juga kerjasama antara AMZ dan pihak JAWHAR terus erat terjalin demi kepentingan asnaf di setiap negeri.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang