KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2024 – Pengusaha terkenal, Mr. Bentong World Trading, hari ini menunaikan kewajipan zakat perniagaannya dengan menyerahkan zakat kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, di Shahzan House, Kuala Lumpur. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain, dan Timbalan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Tuan Haji Che Samsol Bin Ibrahim.
Penyampaian zakat yang diserahkan oleh Encik Hafiz Ong selaku pemilik Mr. Bentong World Trading dan diiringi oleh ayahnya Encik Rizal Ong. Zakat Mr. Bentong ini merupakan simbolik komitmen beliau dalam mendukung usaha membangunkan ekonomi umat Islam serta memperkasa institusi zakat di negeri Pahang. Zakat yang ditunaikan oleh beliau akan disalurkan untuk membantu golongan yang memerlukan, terutamanya asnaf yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi.
Majlis penyampaian zakat ini diakhiri dengan doa dan harapan agar segala usaha yang dijalankan diberkati dan dimudahkan, serta agar lebih banyak individu dan syarikat mengikuti jejak langkah Mr. Bentong dalam memenuhi tanggungjawab sebagai umat Islam.



Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada Mr. Bentong World Trading kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang