JENGKA, 16 Julai 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) cawangan Jengka telah mengadakan satu Program Ops Bisnes bersama-sama Unit Kaunter Bergerak (UKB). Program ini dilaksanakan secara berkumpulan yang melibatkan seramai 8 orang kakitangan dari Zon Tengah dan mereka bergerak melalui dua kumpulan. Kumpulan tersebut telah ditentukan kawasan perniagaan atau premis untuk mereka kunjungi. Peniaga yang sudah mempunyai rekod bayaran di PKZ, mereka akan didaftarkan ke dalam direktori Bizzakat manakala bagi peniaga yang belum pernah membayar zakat, petugas PKZ Pahang akan membantu mereka membuat kiraan zakat perniagaan.

Sepanjang program ini dijalankan, PKZ Pahang telah memperoleh 5 orang pembayar baru dengan jumlah kutipan bayaran zakat sebanyak RM 1,174.10 dan 1 orang pembayar wakaf dengan jumlah sebanyak RM1,000.00. Ops Bisnes yang dijalankan ini adalah bertujuan bagi membantu dan memudahkan urusan para peniaga yang tidak berkesempatan ke pejabat PKZ untuk menunaikan ibadah zakat perniagaan mereka. Objektif program ini adalah untuk menyampaikan penerangan info-info berkaitan kefardhuan zakat harta dan memberi panduan bagaimana mengira zakat perniagaan kepada para peniaga.
Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kaedah pembayaran zakat perniagaan. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap zakat yang telah dikeluarkan oleh para peniaga dan memberkati segala harta mereka yang masih tinggal.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang