JENGKA 11 Julai 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Zon Tengah telah merangka aktiviti menyantuni peniaga-peniaga di sekitar Bandar Tun Razak Jengka melalui program Ops Jejak Peniaga. Program ini dijayakan bersama melalui kerjasama PKZ Zon Tengah dan beberapa kakitangan daripada daerah berhampiran.
Program yang telah dijalankan selama dua hari bermula 11 Julai sehingga 12 Julai 2023 ini telah berjaya mengunjungi 1985 peniaga sekitar Bandar Tun Razak Jengka. Hasil daripada kunjungan tersebut, pihak PKZ telah menerima bayaran zakat perniagaan daripada 24 orang peniaga dengan jumlah bayaran zakat sebanyak RM 29,129.00. Manakala 18 orang daripada mereka juga turut menunaikan ibadah wakaf. Ops Jejak Peniaga yang dijalankan ini adalah bertujuan bagi membantu dan memudahkan urusan pihak peniaga yang tidak berkesempatan ke pejabat PKZ untuk menunaikan ibadah zakat perniagaan mereka. Objektif program ini adalah untuk menyampaikan penerangan info-info berkaitan kefardhuan zakat harta dan memberi panduan bagaimana mengira zakat perniagaan kepada para peniaga.
Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kaedah pembayaran zakat perniagaan. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap zakat yang telah dikeluarkan oleh para peniaga dan memberkati segala harta mereka yang masih tinggal.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
