PAHANG MUNCUL NAIB JUARA KEJOHANAN BADMINTON ZAKAT CUP

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang berjaya mencapai misi awal iaitu mara ke peringkat Separuh Akhir Kejohanan Badminton Zakat Cup 2023 edisi ke 10 dengan berjaya muncul sebagai Naib Juara.

Kejohanan anjuran Pusat Kutipan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) ini berlangsung selama dua hari bermula pada 28 Oktober 2023 dan berakhir pada 29 Oktober 2023 bertempat di Arena Sukan Kuala Lumpur, Setapak.  Kejohanan ini telah disertai oleh 15 agensi mengurus zakat dari seluruh negara dan masing-masing membariskan lapan pemain terdiri tiga beregu terbuka, satu beregu wanita dan satu beregu veteran.

PKZ Pahang bermula garang dengan muncul selaku juara Kumpulan C mengalahkan tiga pasukan lawan dalam peringkat kumpulan. Pertemuan sengit berlangsung ketika bertemu Majlis Ugama Islam Sabah pada peringkat separuh akhir dengan kemenangan berpihak kepada PKZ Pahang menerusi beregu terakhir setelah masing-masing terikat kedudukan 2-2.

Pada perlawanan akhir pula, PKZ Pahang bertemu dengan negeri jiran Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kejuaraan telah berpihak kepada MAIDAM dengan kemenangan 3-0. 

Di samping MAIDAM yang menjadi juara dalam kejohanan ini, tempat ketiga pula menjadi milik Majlis Ugama Islam Sabah dan tempat keempat milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Sebagai rekod, kejohanan anjuran PPZ – MAIWP diadakan sejak tahun 2000 dan PKZ Pahang telah menjadi juara edisi lalu sebanyak 6 kali.

Tahniah diucapkan kepada PPZ–MAIWP di atas penganjuran kejohanan ini dengan jayanya dan berharap semoga dengan acara ini dapat mengeratkan ukhuwah antara agensi mengurus zakat dan Majlis Agama Islam Negeri.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial