BENTONG, 4 Julai 2024 – Majlis Pelancaran Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah dan barakah di Masjid Tunku Azizah Iskandar, Kampung Baru Bentong. Majlis ini disempurnakan oleh Ybrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Baitulmal & Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), selaku wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif MUIP.
Program anjuran bersama Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKZWP, Ybrs. Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, serta beberapa tokoh agama dan pemimpin tempatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli, Pegawai Dakwah PKZ Pahang, diikuti ucapan aluan oleh Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman. Dalam ucapan beliau, Tuan Haji Mohd Azmi menyeru masyarakat agar terus memperkukuh peranan zakat dan wakaf dalam membangunkan ekonomi ummah.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian serta gimik pelancaran oleh Dr. Asmadi bin Abdul Rahman yang kemudiannya menyempurnakan tayangan montaj khas sempena Bulan Zakat dan Wakaf 2025, menandakan pelancaran rasmi bulan yang penuh pengisian ini. Dalam majlis yang sama, dua koperasi dari kawasan Felda Sungai Koyan telah menyerahkan zakat perniagaan kepada PKZ Pahang:
Koperasi Felda Sungai Koyan 3 Berhad menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM150,000
Koperasi Peserta Felda Sungai Koyan 2 Berhad menyerahkan sebanyak RM72,741.92
Penyerahan ini diterima oleh Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, diiringi oleh Timbalan Pengurus Besar PKZ Pahang, Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim.
Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian sumbangan bantuan zakat dan wakaf kepada penerima-penerima yang layak, antaranya bantuan perubatan, bantuan pendidikan, dan bantuan keusahawanan. Antara penerima termasuk:
Encik Abu Rhairah bin Zakaria – Bantuan Perubatan Jantung (RM30,400)
Encik Mohd Zamir bin Busri Rojy – Bantuan Peralatan Perubatan (RM16,755)
Haji Sayujan bin Abduk Majid – Wakil Maahad An-Noer menerima Bantuan Pendidikan (RM25,000)
Bagi sumbangan wakaf pula, antara penerima yang diraikan ialah:
Masjid Sultan Ahmad Shah, Bentong – RM10,000
Surau Sa’adah, RTP Kampung Lebu – RM20,000
Surau Al-Ihsan, Kampung Pintu Padang, Raub – RM18,000
Penyampaian bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan MUIP dan PKZWP dalam memperkasa fungsi zakat dan wakaf bagi kesejahteraan masyarakat Islam di negeri ini.
PKZWP menzahirkan harapan agar penganjuran Bulan Zakat dan Wakaf 2025 ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran umat Islam di negeri ini terhadap tanggungjawab berzakat dan berwakaf. Diharapkan juga agar lebih ramai individu, syarikat dan institusi tampil menunaikan zakat serta menyumbang kepada wakaf demi memperkukuh ekonomi ummah dan memastikan kesejahteraan golongan asnaf terus terbela. PKZWP komited untuk terus memperkasa peranan zakat dan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial yang mampan, berteraskan prinsip keadilan dan keberkatan.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
