KUANTAN, 18 Januari 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) dengan kerjasama RTM Pahang FM telah menganjurkan satu program iaitu Kuiz al-Tamwil al-Islami, yang berlangsung dari Januari hingga Disember 2024. Rancangan ini telah disiarkan secara langsung setiap hari Sabtu, memberikan peluang kepada pendengar untuk menguji pengetahuan mereka mengenai kewangan Islam. PKZ Pahang telah mengumumkan bahawa pemenang bagi tahun 2024 adalah Puan Azini Ross binti Zahari yang berasal dari Temerloh. Beliau telah menunjukkan prestasi yang luar biasa, menjawab soalan-soalan kuiz dengan tepat dan konsisten setiap minggu. Kejayaan ini menjadikannya pemenang utama sepanjang tahun, membuktikan dedikasi dan komitmennya terhadap program ini.
Kuiz al-Tamwil al-Islami bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang zakat, wakaf, dan aspek kewangan Islam. Program ini telah menarik minat ramai peserta, yang memberikan sokongan sangat menggalakkan. Soalan-soalan kuiz yang dikendalikan setiap bulan dirancang untuk mendedahkan kepada Masyarakat dengan pelbagai aspek pengetahuan berkaitan Islam, khususnya dalam konteks kewangan. Hadiah pemenang telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Azmi Haji Othman, Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, diiringi oleh YBhg. Encik Muhamad Khairunizam bin Abdul Salam selaku Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang dan Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli, Pegawai Bahagian Dakwah PKZ.



Pengurus Besar PKZ dan Wakaf Pahang menyatakan betapa pentingnya pendidikan zakat dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat Islam di negeri Pahang. Beliau juga menyatakan bahawa program ini akan menjadi platform untuk masyarakat mengenali lebih dekat fungsi dan peranan zakat dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Program al-Tamwil al-Islami diharapkan dapat terus memberikan impak positif dalam memperkasa pengetahuan masyarakat mengenai kewangan Islam dan memberi manfaat yang lebih luas kepada umat Islam. Penyiaran program ini melalui RTM Pahang FM juga membuktikan komitmen kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam mendidik masyarakat, terutamanya dalam aspek kebajikan dan pembangunan ekonomi. Program akan diteruskan pada tahun 2025 dengan panel-panel dan episod-episod yang lebih menarik dan penuh informasi untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Pahang.
Disediakan oleh,
Amirun Akmal Hazeeq bin Mohd Nazri
Pelatih Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang