KUANTAN, 30 Jun 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) mengucapkan selamat bersara kepada mantan Pengurus Besar PKZ Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud yang telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 30 Jun 2024. Setelah berkhidmat selama 29 tahun, YH Dato’ Haji Halidan telah meninggalkan legasi kepimpinan yang amat dikagumi oleh para kakitangan dan pihak yang berurusan dengan PKZ Pahang.
YH Dato’ Haji Halidan dikenali sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, berintegriti tinggi dan sangat berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawabnya. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah memimpin PKZ Pahang dengan penuh komitmen dan visi yang jelas. Kepimpinan beliau telah berjaya meningkatkan kutipan zakat secara drastik semenjak daripada mula penubuhan PKZ (tahun 1996) iaitu sebanyak RM3.1 juta kepada RM215.1 juta (tahun 2023), sekaligus membantu lebih ramai golongan asnaf menerima manfaat dan memperkukuh ekonomi umat Islam khususnya di Negeri Pahang.
Sifat kepimpinan YH Dato’ Haji Halidan yang tegas ketika membuat keputusan tetapi amat mudah didekati menjadikan beliau seorang pemimpin yang dihormati oleh semua peringkat kakitangan dan jabatan-jabatan lain. Beliau sentiasa menekankan nilai-nilai spiritual dalam berorganisasi seperti mengadakan kelas-kelas fardhu ain, kejujuran dan keikhlasan dalam setiap tindakan diambil.
Harapan warga PKZ Pahang terhadap YH Dato’ Haji Halidan selepas persaraannya adalah beliau akan terus menyumbang idea kepada masyarakat melalui ilmu dan pengalaman yang dimiliki. Semoga YH Dato’ dapat menikmati masa persaraannya dengan penuh kebahagiaan dan kesejahteraan bersama keluarga tercinta dan sentiasa dirahmati Allah dalam setiap amal buat beliau.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang