PERINGATAN KERAS DARI ALLAH DAN RASUL TERHADAP ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR ZAKAT HARTA

Nabi Muhammad s.a.w telah menegaskan semasa baginda s.a.w berada di Madinah bahawa zakat adalah satu perkara yang wajib ditunaikan serta menjelaskan kedudukan zakat di dalam Islam. Baginda s.a.w menegaskan bahawa zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang utama, dipuji bagi orang yang melaksanakan ibadah zakat ini dan diancam bagi orang yang tidak melaksanakannya dengan berbagai-bagai ancaman sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Di dalam beberapa hadis yang berkaitan, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang ancaman kepada orang yang tidak membayar zakat harta dengan hukum berat di akhirat moga-moga dengan ancaman ini, orang yang lalai dari melaksanakan ibadah ini akan tersentak lalu terus melaksanakannya dan dapat mengikis sifat kikir dan kedekut yang terpendam dalam hati mereka.

Kemudian dengan cara memberi pujian dan memberi rasa takut kepada seksaan yang bakal diterima, baginda s.a.w mengajak umatnya agar melaksanakan kewajipan zakat ini secara sukarela tetapi bila mana manusia enggan atau ingkar dengan tuntutan ini, Islam menuntut secara paksa menggunakan hukum yang telah ditetapkan dan menggunakan kekuasaan yang ada pada pemerintah (seperti mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan dan ingkar akan kewajipan membayar zakat) agar melaksanakan kewajipan tersebut.

Hukuman di Akhirat

Antara hukum di akhirat bagi mereka yang tidak melaksanakan tuntutan ini, Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat nanti, ia akan didatangi seekor ular yang besar yang sangat berbisa dan amat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya lalu membelit dan mematuk lehernya sambil berteriak “Aku adalah kekayaanmu, aku adalah kekayaanmu yang kamu kumpulkan dahulu“

Kemudian baginda s.a.w membaca ayat al-Quran “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?”surah ali-’Imran ayat 180

Hukuman di Dunia

Bagi hukuman di dunia pula, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Bila mereka tidak mengeluarkan zakat bererti mereka telah menghalang hujan turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan” hadis riwayat Ibnu Majah, Bazzar dan Baihaqi.

Orang-orang Yang Tidak Membayar Zakat Dihukum Bunuh

Islam tidak hanya menghukum golongan yang tidak membayar zakat dengan hukuman seperti di atas sahaja tetapi lebih dari itu, Islam memerintahkan agar memerangi dan harus dihukum bunuh golongan yang membangkang dari membayar zakat. Hal ini berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih dan menjadi ijmak (telah disepakati) oleh para sahabat. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abdullah bin Umar bermaksud:

 ”Rasululah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi mereka kecuali bila mereka sudah mengikrarkan syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya, mendirikan solat dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu, maka darah mereka sudah mendapat perlindungan dari aku kecuali dengan hak-hak lain yang perhitungannya diserahkan kepada Allah s.w.t.”

Hadis ini menunjukkan dengan tegas bahawa orang yang tidak membayar zakat harus diperangi sampai mereka membayarnya.

Orang Yang Mengingkari Zakat Adalah Kafir

Berdasarkan kedudukan zakat dalam syariat Islam, para ulama’ menetapkan bahawa orang yang mengingkari dan tidak mengakui zakat itu wajib, adalah kafir dan sudah keluar dari Islam.

Imam Nawawi Rahimahullahu Taala Alaihi berkata:”Bila orang itu mengingkari wajibnya zakat kerana dia belum mengetahuinya dengan sebab hidup pada masa Islam baru tersebar atau tinggal jauh di pendalaman (tidak sampai seruan dakwah), maka ia tidaklah dinilai kafir tetapi harus diterangkan dan diberi pendedahan kepadanya terlebih dahulu bahawa zakat itu wajib lalu baru dipungut zakatnya.

Bila dia tetap mengingkarinya (setelah diberi penerangan) barulah ia dihukum kafir.  Tetapi bila orang itu hidup di tengah-tengah umat Islam, maka dia dihukum kafir dan diperlakukan sebagai orang-orang murtad yang harus diberi hukuman. Oleh kerana wajibnya zakat ini sudah diketahui oleh umum, yang mengingkari wajib zakat ini dinilai sama seperti tidak mengakui Allah dan RasulNya dan mereka ini dihukum kafir. (Rujukan al-Majmuk jilid 5: 334) Penegasan Imam Nawawi ini diperkuatkan pula oleh Ibnu Qudamah (rujuk al-Mughni jilid 2: 573)

Berdasarkan hukum syarak yang jelas, tegas dan diakui secara keseluruhannya dapatlah kita nilai bagaimana kedudukan orang-orang yang merendahkan kedudukan zakat dan memandang enteng tidak mengambil berat tentangnya serta mengatakan bahawa zakat tidak sesuai dilaksanakan di zaman yang serba moden ini. Ingatlah, Allah s.w.t tahu atas apa yang telah kita nilaikan selama ini.

ADAB-ADAB BERZAKAT

  • Berzakat dengan ikhlas.
  • Mengeluarkan harta yang paling baik yang dimiliki
  • Hendaklah dirahsiakan pemberian zakat jika dibimbangi timbulnya perasaan riak
  • Bersegera mengeluarkan zakat apabila mencukupi syarat-syaratnya
  • Sunat mewakilkan kepada orang lain untuk mengeluarkan zakat, jika takut dipuji yang boleh menimbulkan riak
  • Disunatkan berdoa semasa mengeluarkan zakat dengan doa: “Ya ALLAH jadikanlah ia suatu keuntungan dan janganlah jadikan ia sesuatu kerugian “
  • Bagi amil pula disunatkan berdoa ketika menerimanya: “Semoga ALLAH mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap apa yang telah engkau berikan dan memberkati segala harta kamu yang masih tinggal dan semoga ALLAH menjadikan zakat mu sebagai pembersih harta mu “Amin.

Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my

Kongsikan di media sosial