KUANTAN, 17 Julai 2023 – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan Utara dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2022 kepada Pusat Kutipan Zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan jumlah keseluruhan RM37,966.83 dalam dua majlis berasingan.
Majlis serahan zakat PPK Kuantan Utara telah berlangsung pada 15 Julai 2023 bertempat di Kompleks Sri Dagangan Indera Mahkota manakala majlis PPK Bentong berlangsung pada 17 Mei 2023 bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Bentong. PPK Kuantan Utara telah diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Encik Kamal Zaim bin Mohd Amin yang menyerahkan zakat sebanyak RM15,760.28 kepada Penolong Pengurus Pusat Kutipan Zakat Kuantan, Mohd Nadhir Syafiq bin Rameli sambil disaksikan oleh Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan negeri Pahang (PASFA), YH Dato’ Indera Mustaffa Kamal bin Ab Hamid.
Manakala Koperasi Kawasan Paya Besar juga diwakili oleh Pengerusi Ahli Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong yang menyerahkan zakat sebanyak RM22,206.55 yang diserahkan oleh Dato’ Sri Zaini bin Salleh selaku Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong. Penerimaan zakat PPK Bentong bagi pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah diwakili oleh Pengurus Zon Barat Pusat Kutipan Zakat Pahang, Mohd Zaisam bin Zainal.
Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada kedua pihak PPK yang melaksanakan ibadah zakat perniagaan mereka sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam dan didoakan semoga Allah melipat gandakan keuntungan ke atas perniagaan dijalankan di masa mendatang.
Disediakan Oleh
Muhamad Kamil bin Abdul Hamid
Pembantu Pegawai Zakat Kuantan