PKZ MELAKSANAKAN PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL BERSAMA PENDUDUK MUKIM SANGGANG

TEMERLOH, 9 Februari 2024 – Sempena Bulan zakat Dan Wakaf peringkat negeri Pahang, Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membersihkan kawasan perkuburan Kampung Baru Bintang, Temerloh bersama-sama masyarakat setempat. Program dengan kerjasama pihak Jawatankuasa Masjid Kampung Baru Bintang dan Majlis Belia Daerah Temerloh telah melibatkan hampir 50 orang penyertaan dengan pelbagai kelengkapan pembersihan disediakan. Alhamdulillah hasil kerjasama padu daripada semua Pihak, tanah perkuburan seluas tiga ekar tersebut telah berjaya dibersihkan dalam tempoh 3 jam Sahaja.

Selain daripada program ini, pihak Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang juga mengadakan Kuliah Dhuha Muslimat di tiga masjid kampung berhampiran iaitu Masjid Kampung Baru Bintang, Masjid Kampung Kuala Sentang dan Masjid Kampung Telok Sentang. Para petugas turut mengambil kesempatan menyampaikan dakwah zakat dan wakaf melalui Khutbah zakat dan Kuliah Jumaat di enam kampung sekitar di dalam Mukim Sanggang 2. Secara keseluruhannya, seramai 28 orang telah menunaikan ibadah zakat dan wakaf mereka dengan amaun hampir RM10 ribu sepanjang program dijayakan.

Pihak Wakaf Pahang juga telah menyampaikan sumbangan wakaf berbentuk televisyen dan komputer kepada tadika KEMAS manakala karpet dan sejadah kepada Surau Nur Ahsan perkampungan orang asli Paya Sendayan, Kuala Krau.

Menurut Pengerusi JPKK Kampung Baru Bintang merangkap Pengerusi Masjid Kampung Baru Bintang, Tuan Haji Mokhtar bin Mohd Taib, beliau merakamkan setinggi terima kasih kepada Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang atas sumbangan tenaga dan kerjasama mantap diberikan untuk manfaat seluruh penduduk kampung sekitar Mukim Sanggang 2.

Adalah diharapkan dengan program kemasyarakatan yang diadakan ini akan dapat merapatkan hubungan antara kakitangan PKZ Pahang dengan masyarakat.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial