KUANTAN, 4 Disember 2025 — Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Pahang hari ini memeterai Perjanjian Gerak Kerja bagi memperkukuhkan kerjasama strategik melibatkan pelaksanaan potongan gaji zakat pendapatan dalam kalangan warga kerja KWSP di negeri ini.
Majlis ringkas tetapi bermakna itu berlangsung di Bilik Taklimat Tingkat 3, KWSP Kuantan, melibatkan tandatangan antara Pengurus PKZ Zon Timur, Ustaz Felza Zulrrafaaee bin Abdul Hamid dan Encik Mahmud Shauqi bin Ahmad, Ketua Cawangan KWSP Kuantan. Kerjasama ini dijangka meningkatkan keberkesanan hebahan, kefahaman dan pelaksanaan pembayaran zakat pendapatan khususnya melalui mekanisme potongan gaji bulanan.
Majlis turut disertai warga kerja KWSP Cawangan Raub, Temerloh, Pekan dan Jerantut secara dalam talian melalui platform Microsoft Teams. Taklimat Zakat Pendapatan Disampaikan kepada Anggota KWSP. Sebelum sesi tandatangan berlangsung, program dimulakan dengan pendaftaran dan minum pagi pada 9.15 pagi, diikuti ucapan aluan oleh Ketua Cawangan pada 9.45 pagi.







Program diteruskan dengan sesi taklimat zakat pendapatan oleh Ustaz Felza Zulrrafaaee bin Abdul Hamid selaku Pengurus Zon Timur PKZ Pahang pada 10.00 pagi yang menyentuh tentang kepentingan zakat pendapatan, kaedah kiraan serta kemudahan bayaran yang disediakan oleh PKZ Pahang. Sebagai simbolik kerjasama, turut diadakan: Gimik Penyerahan Borang Potongan Zakat kepada wakil anggota KWSP, Penyerahan Bahan Promosi PKZ kepada Ketua Cawangan KWSP Kuantan Program berakhir pada 12.00 tengah hari.
Bagi memudahkan urusan peserta program, PKZ Pahang turut membuka Kaunter Bayaran Zakat di lokasi program, membolehkan anggota KWSP membuat pembayaran serta semakan zakat pendapatan secara terus. Kaunter ini turut menyediakan khidmat nasihat dan semakan kiraan zakat oleh pegawai PKZ Pahang.
PKZ Pahang berharap program ini menjadi platform berterusan untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara PKZ dan KWSP, di samping meningkatkan kesedaran warga kerja berkenaan kewajipan zakat pendapatan. Melalui gerak kerja bersama ini, PKZ Pahang menyasarkan lebih ramai anggota KWSP dapat melaksanakan pembayaran zakat secara teratur, sistematik dan berkesan, sekaligus memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan asnaf di negeri ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
