KUANTAN, 26 Februari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) Negeri Pahang pada 26 Februari 2026 (Khamis), jam 9.30 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PKZ Pahang.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan cadangan pelaksanaan Program Ehsan Raya 2026/1447H sebagai inisiatif kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam membantu golongan asnaf membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Delegasi LTH diketuai oleh Pengarah TH Negeri Pahang, Haji Rosdi bin Dollah bersama Haji Mohamad Luqman bin Sahap (Ketua Pentadbiran/Haji) dan Hajah Norazila binti Mohamad (Ketua Cawangan Bergerak).
PKZ Pahang pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Hj. Mohd Azmi bin Hj. Othman; Ketua Bahagian Pemasaran, En. Zafridan bin Mohd Daud serta Pegawai Korporat, Encik Zainal bin Man. Turut hadir wakil daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) iaitu Ustaz Mohd Muzil Adli bin Ne’mmat (Pengurus Kuantan) dan Ustaz Mohd Sazman bin Saratin bagi membincangkan aspek pengagihan kepada asnaf di bawah seliaan MUIP.



Antara cadangan utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan agihan wakalah berbentuk wang saku sebanyak RM200 kepada 750 asnaf terpilih melibatkan jumlah keseluruhan RM150,000. Bantuan tersebut dicadangkan untuk dimasukkan terus ke dalam akaun Tabung Haji penerima sebagai usaha menggalakkan budaya simpanan serta perancangan kewangan yang lebih mampan dalam kalangan asnaf.
PKZ Pahang menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan melihat kerjasama ini sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan strategik antara institusi zakat dan agensi berkaitan demi kesejahteraan ummah di Negeri Pahang.
PKZ Pahang komited untuk terus memperkasa pengurusan zakat yang telus, sistematik dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi memperluas manfaat zakat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
