PEKAN, 3 APRIL 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Pekan telah berjaya mengadakan satu program penerangan berkenaan kewajipan zakat pendapatan melalui potongan zakat berjadual kepada 55 orang guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan. Program yang dijalankan ini adalah bagi mengisi slot Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan yang berlangsung selama 2 hari iaitu 3 April 2023 dan 4 April 2023 telah disertai oleh seluruh kakitangan Sekolah tersebut.
Program ini telah dijalankan dengan sesi taklimat pada hari pertama dan diikuti dengan kaunter zakat dan wakaf pada hari kedua. Sesi taklimat di dalam program ini telah disampaikan oleh Penolong Pengurus PKZ Cawangan Pekan, Tuan Haji Khairul Anuar bin Abdullah yang mengupas berkenaan kewajipan zakat dan syarat kelayakan bagi membolehkan sekolah untuk memohon wakalah. Syarat yang dikenakan adalah potongan gaji bulanan kakitangan sekolah menengah hendaklah melebihi RM2,500 dan peratusan kakitangan berzakat mestilah melebihi 90% daripada jumlah kakitangan muslim.
Sepanjang program ini berlangsung seramai 13 orang kakitangan telah memohon untuk membuat potongan gaji zakat dengan amaun potongan sebanyak RM658 sebulan dan telah menerima bayaran zakat pendapatan secara tunai dari seorang kakitangan dengan jumlah bayaran zakat sebanyak RM 1,530.00. Selain bayaran zakat, seramai 21 orang turut menunaikan ibadah wakaf melalui potongan gaji dengan jumlah bayaran potongan gaji wakaf bulanan sebanyak RM255.00 sebulan.
Diharap dengan adanya program seperti ini memberi impak yang positif kepada warga pendidik dalam memahami kewajipan berzakat dan berwakaf seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat dan wakaf negeri Pahang.
Mohd Faiz bin Mohd Shukor
Pembantu Pegawai Zakat
Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Pekan
