KUANTAN, 29 Disember – Pusat Kutipan Zakat Wakaf Pahang (PKZ Pahang) menyokong penuh pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ke wilayah Aceh, Indonesia, yang bermula pada 25 Disember lalu hingga hari ini, susulan bencana banjir yang melanda wilayah berkenaan. Misi kemanusiaan tersebut melibatkan penghantaran sebanyak 24 tan bantuan makanan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti umat Islam di Pahang terhadap masyarakat Aceh yang terjejas.
Menurut MUIP, keperluan asas bagi misi ini diperoleh daripada pengeluar tempatan di Aceh melalui kerjasama strategik bersama Dewan Perniagaan Malaysia–Aceh, yang turut membantu dalam aspek logistik dan penyelarasan penghantaran. Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses agihan bantuan, malah menyokong kelangsungan ekonomi masyarakat setempat. Sebanyak enam buah lori bersaiz empat tan digunakan bagi memastikan bantuan dapat dihantar dengan selamat ke beberapa lokasi utama termasuk Temiang (Aceh Timur), Lhokseumawe, Bireuen (Aceh Utara) dan Pidie Jaya, dengan perjalanan ke lokasi pertama mengambil masa kira-kira 11 jam.
Penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh wakil MUIP, Ahli Lembaga MUIP, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, kepada Gabenor Aceh, Muazzakir Manaf. Turut mengiringi delegasi tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Dasar dan Pengurusan MUIP, Kharuddin Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman. Pelaksanaan misi ini turut disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu NGO Insan Cakna dan Yayasan Patriotik Bangsa, yang bertindak sebagai sukarelawan sepanjang tempoh misi kemanusiaan berkenaan.
PKZ Pahang menyifatkan penglibatan dalam misi ini sebagai manifestasi komitmen berterusan institusi zakat dan wakaf negeri Pahang dalam menyantuni masyarakat yang ditimpa musibah, di samping memperkukuh hubungan ukhuwah Islamiah serantau tanpa mengira sempadan negara. PKZ Pahang berharap usaha murni ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama menyumbang dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan tuntutan syariat Islam yang menekankan nilai ihsan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial sejagat.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
