PEKAN, 15 November 2023 – Pada 15 November 2023 lalu Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Pekan dengan kerjasama Pejabat Veterinar daerah Pekan telah menyampaikan taklimat berkenaan kewajipan Zakat Ternakan di dalam sidang penternak ruminan daerah Pekan terhadap lebih 60 para penternak dari seluruh daerah Pekan. Rentetan daripada program tersebut, pegawai dari PKZ Pekan telah dihubungi oleh beberapa orang penternak dari Kampung Tanjung Medang, Kampung Lamir dan Kampung Pulau Rusa untuk mentaksir zakat ternakan mereka.
Penolong Pengurus PKZ Pekan, Haji Khahirul Anuar bin Abdullah bersama pegawai beliau, Encik Mohd Faiz bin Mohd Shukor telah turun padang menyantuni para penternak. Di dalam program ziarah tersebut pihak PKZ Pahang memenuhi hajat para penternak melaksanakan kewajipan zakat ternakan mereka secara langsung. Seramai 3 orang penternak telah menunaikan zakat ternakan lembu dan kambing mereka kepada pegawai bertugas. Mereka sangat berterima kasih dengan kehadiran PKZ Pahang yang mengunjungi mereka dan memudahkan mereka untuk melaksanakan zakat.

Dengan wujudnya program ziarah penternak ini, para petugas telah memberi penerangan lengkap berkaitan zakat harta khususnya zakat ternakan kepada penternak agar mereka mendapat maklumat yang cukup berkaitan ibadah zakat selain ianya secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan di antara para penternak bersama PKZ Pahang.
Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kewajipan berzakat dan seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Faiz bin Mohd Shukor
Pegawai Pusat Kutipan Zakat Pahang
Cawangan Pekan