PKZ, RTM PAHANG FM ANJUR PERTANDINGAN KUIZ HADIAH BERNILAI SEHINGGA RM1K UNTUK DIMENANGI

KUANTAN, 6 Februari 2023 – Jalinan kerjasama antara Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) dan RTM Pahang FM diteruskan lagi pada tahun ini iaitu dengan menyiarkan satu rancangan khas buat pendengar dan penonton setia Pahang FM. Rancangan celik kewangan Islam iaitu Al Tamwil Al Islami ini mula disiarkan pada Januari 2024 dan akan berakhir pada disember 2024 iaitu sebanyak 48 episod. Rancangan ini dibawakan khas oleh RTM Pahang FM bagi zon aktif iaitu pada jam 9.15 pagi setiap hari sabtu.

Rancangan ini juga disampaikan oleh Al Fadhilah Ustazah Dr. Hasiah binti Mat Salleh. Beliau merupakan  Pensyarah Kanan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) selama 15 tahun serta peguam syarie di Pahang selama 16 tahun. Beliau juga turut mengambil jurusan Master dalam bidang Pendidikan dan menyambung pengajian PhD di Universiti Malaya dan pencapaian beliau ialah Tesis Cemerlang Universiti Malaya.

Pada kali ini, turut diadakan pertandingan kuiz bagi menarik masyarakat di luar sana mengikuti rancangan yang disiarkan. Hadiah bulanan yang bernilai RM50 untuk dimenangi dan hadiah tahunan yang bernilai RM1000 bagi mana-mana individu yang mengikuti siaran ini di facebook rasmi Pusat Kutipan Zakat Pahang (tertakluk terma & syarat) dengan menghantar jawapan bagi soalan-soalan kuiz yang disiarkan.

PKZ Pahang merakamkan penghargaan kepada Radio Pahang FM di atas kesudian bekerjasama dengan pihak PKZ dan berharap agar silaturrahim yang telah terjalin ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Disediakan oleh :
Mohammad Hidayat Bin Mohamad Nafiah                                                                                                                                                           Pembantu Pegawai Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial