PKZWP RAIH NAIB JOHAN KEJOHANAN BOWLING PIALA PUSINGAN PENGERUSI PPZ-MAWIP 2026

PUTRAJAYA, 31 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila muncul Naib Johan dalam Kejohanan Bowling Piala Pusingan Pengerusi PPZ-MAWIP 2026 yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini. Kejohanan anjuran Koperasi PPZ Berhad itu melibatkan penyertaan 27 pasukan daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Institusi Mengurus Zakat (IMZ) seluruh negara. Kejohanan disertai pasukan berkaliber tinggi sekali gus menyaksikan persaingan sengit sepanjang acara berlangsung.

Gelaran Johan dimenangi oleh PPZ-MAWIP (Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), manakala tempat ketiga menjadi milik MAINJ (Majlis Agama Islam Negeri Johor). Turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan PKZWP ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YBRS. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, yang menyatakan penghargaan atas komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang kejohanan.

PKZWP berharap agar penganjuran kejohanan seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh ukhuwah, kerjasama strategik serta semangat kesukanan dalam kalangan MAIN dan IMZ. Selain memupuk gaya hidup sihat dan kerja berpasukan, kejohanan ini juga diharapkan dapat mempererat jaringan kerjasama antara institusi zakat demi memperkasa pengurusan dan penyampaian perkhidmatan zakat kepada ummah. PKZWP komited untuk terus menyokong penglibatan warga kerja dalam aktiviti berimpak tinggi serta meningkatkan prestasi pasukan pada masa hadapan, seiring usaha memperkukuh imej dan kecemerlangan institusi zakat di peringkat nasional.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial